Syiling Jadi "Port Selamat" Suami Isteri Simpan Dadah


KAJANG - Bagi memastikan dadah yang hendak diedar sentiasa 'selamat', sepasang suami isteri menjadikan siling rumahnya sebagai tempat simpanan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas suspek membabitkan pasangan warga tempatan ditahan di rumahnya di Bandar Rincing, Semenyih, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam dibuat hasil maklumat dan risikan pihaknya.

Menurutnya, awalnya pemeriksaan awal di bilik rumah terbabit tidak menemui sebarang bahan yang mencurigakan.

"Namun, setelah pemeriksaan lanjut di siling rumah itu menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki heroin seberat 457.6 gram.

"Disyaki dadah yang dianggar bernilai RM6,000 itu akan diedarkan suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Beliau berkata, pasangan berusia 26 tahun itu kini direman selama sembilan hari sehingga Khamis ini.

Katanya, polis bagaimanapun masih menyiasat dari mana sumber bekalan dadah diperolehi, namun tidak menolak kemungkinan suspek mengedarnya di sekitar Semenyih.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan di Batu 9 Cheras dan Batu 11 Cheras, dekat sini, baru-baru ini.

"Serbuan menemui dua paket dadah masing-masing mengandungi dadah disyaki heroin (16.21 gram) dan syabu (55.38 gram). Siasatan dapati dadah ini untuk pasaran di sekitar Cheras," katanya.

 Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com