Syamsul Yusof Mahu Hasilkan Filem Mat Kilau


Ingatkan selepas orang ketiga memberi kenyataan dalam sidang media Isnin lalu, kontroversi panas yang hangat diperkatakan sejak dua minggu sudah selesai.

Rupa-rupanya ada sambungan lagi dengan menantikan kenyataan pihak keempat pula dan Khamis lalu media ramai-ramai ke lokasi drama Izinkan Aku Mencintaimu di Bandar Tun Hussein Onn.

Sekarang berbalas-balas kenyataan hingga kontroversi membabitkan Aliff Aziz dengan Afifah Nasir ini tidak akan selesai. A kata B, B kata C dan macam-macam lagi cerita yang timbul. Bila masa hendak tumpu pada kerja kalau melayan kisah ini tak habis-habis?

Tapi Syamsul Yusof juga yang bagus. Baru saja menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 30 Julai lalu, kini mula dengan projek baru mahu menghasilkan filem sejarah pula.

Berita itu dikongsi Syamsul melalui laman sosial Facebooknya Khamis lalu mengenai majlis menandatangani kesepakatan pembikinan filem Mat Kilau. Kalau filem-filem aksi memang Syamsul sudah buktikan kehebatannya dan kini untuk filem sejarah pula.

Kita tunggulah hasil karya terbaru Syamsul ini yang mungkin untuk sasaran 2018 sempena bulan kemerdekaan nanti.

Setakat ini filem sejarah yang masih menjadi sebutan hingga kini ialah Bukit Kepong, Matinya Seorang Patriot, Darah Satria, Leftenan Adnan, Paloh, Embun dan filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Hati Malaya: 1957 dan Tanda Putera.

Kita juga ada filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior arahan Bade Hj Azmi yang ditayangkan di pawagam April lalu tetapi sayangnya kurang promosi hingga ramai tidak menyedari kehadirannya.

Ketika ini peminat filem Korea hangat memperkatakan filem The Battleship Island lakonan Hwang Jung-min, So Ji-seob dan Song Joong-ki.

Tiga bintang utama filem ini baru saja turun ke Kuala Lumpur untuk promosi filem itu minggu lalu.

Ia juga filem sejarah berlatarkan zaman Korea dijajah Jepun, mengenai buruh paksa yang dikerah ke pulau Battleship atau pulau Hashima untuk melombong arang batu.

Siapa agaknya pelakon yang bakal menjadi Mat Kilau? Mungkinkah Syamsul Yusof memegang watak utama kerana dalam filem-filem arahannya sebelum ini Syamsul juga pelakon utamanya.

Kalau bintang muda mungkin Shafie Naswip atau Beto Kusyairi atau pun berusia seperti Eman Manan.

Mat Kilau merupakan pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Nama penuh beliau ialah Mat Kilau Imam Rasu atau Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak Tok Kaut Burau.

Mat Kilau dipercayai lahir pada tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai Dikir Pahang. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.

Mat Kilau tidak sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.

Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayah sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Uthman Senik) yang juga mufti Pahang ketika itu.

Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut beberapa pendapat orang-orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Anak produser, pengarah dan pelakon Datuk Yusof Haslam ini memang bertuah kerana filem-filem hasil sentuhannya mencatat kejayaan ketika ditayangkan di pawagam.

Bermula dengan Evolusi KL Drift pada 2008, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Jalan Kembali: Bohsia 2, KL Gangster 2 dan Munafik.

Tiga kali menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia iaitu melalui Evolusi KL Drift 2 di FFM23 pada 2010, KL Gangster (FFM24 pada 2011) dan Munafik (FFM25 pada 2016).

Apabila sering dilimpahi kejayaan tentu ada harga yang harus dibayar. Ada yang tidak puas hati atau memperlekehkan kejayaannya sebagaimana kontroversi yang berlaku baru-baru ini.

Minggu lalu luahan Syamsul menerusi laman sosial Twitter mengenai pelakon Redza Minhat turut menarik perhatian. Syamsul mendakwa berkongsi nota itu dengan umum kerana mahu menyedarkan pelakon itu supaya tidak memandang rendah kejayaan orang lain.

Kata Syamsul, pelakon Pisau Cukur itu sebelum ini banyak mempertikaikan kejayaan filem arahannya menerusi laman sosial.

Begitu juga dugaan besar yang harus dilalui Syamsul pada 2013 apabila filem KL Gangster 2 bocor sebelum ditayangkan di pawagam.

Siapa tidak kecewa apabila susah payah menghasilkan filem itu, tiba-tiba ada pihak sabotaj dan agak lama juga Syamsul menyepi tetapi akhirnya Syamsul bangkit dengan filem seram keagamaan, Munafik.

Nyata Munafik mengembalikan semangat Syamsul hingga menghasilkan Munafik 2 dan kini filem sejarah pula. Semangat inilah yang kita mahukan, bekerja dan hasilkan karya yang bagus untuk memajukan industri.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com