Sultan Kedah Tertarik Pembinaan Litar Lumba Rakyat Jadi Kenyataan


ALOR SETAR - Pembinaan Litar Lumba Rakyat di Aman Jaya, Sungai Petani  bernilai RM30 juta yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

" Beta tertarik dengan usaha kerajaan itu yang kini menjadi satu  realiti," titah baginda pada perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah bagi mesyuarat pertama, penggal keempat di Wisma Darulaman, di sini hari ini.

Titah ucapan baginda disampaikan oleh Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah. 
  
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semasa melawat  lawatan ke tapak Kompleks Litar Sukan Bermotor itu baru-baru berkata pembinaan litar lumba itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan manifesto yang dibuat sebelum pilihan raya umum yang lalu.

Katanya pembinaan litar itu sekaligus menafikan khabar angin bahawa projek itu hanya sekadar 'cakap kosong'.

"Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula September ini selepas selesai urusan pengambilalihan tanah untuk pembinaan laluan masuk ke kompleks sepanjang 1.5 kilometer.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak dijadual melakukan majlis pecah tanah projek berkenaan pertengahan September ini.

Menurut Ahmad Bashah, keseluruhan kawasan terbabit ialah seluas 60.7 hektar, namun hanya sebahagian sahaja akan dimajukan buat masa ini untuk pembinaan trek sepanjang 1.8 kilometer dan 21.4 hektar untuk pembinaan sembilan selekoh.

Ahmad Bashah berkata, litar itu dijangka berupaya menempatkan 3,000 penonton pada satu-satu masa dan turut dilengkapi medan penonton berbumbung, kemudahan awam yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti tandas, surau, tempat letak kenderaan dan kafe. 

"Pembinaannya di bawah pengurusan Menteri Besar Incorporated (MBI), diharap akan dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan muda agar tidak lagi menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba sehingga boleh mengancam nyawa pengguna lain," katanya. - Kedahnews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com