Pemimpin Politik, Ilmuan Agama Timbulkan Permusuhan Antara Rakyat Ditegur


ALOR SETAR - Isu-isu kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja dan undang-undang Islam tidak seharusnya diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial kerana ia boleh mengundang tafsiran negatif serta memecahbelahkan masyarakat.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mengingatkan rakyat termasuk pemimpin politik dan ilmuan agama agar tidak menjadikan isu-isu sensitif sebagai bahan perbahasan semata-mata kerana berbezaan ideologi dan atas kepentingan diri. 

Ilmuan agama, umpamanya  tidak terkecuali  turut mengeluarkan fatwa, tuduh-menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga mengelirukan masyarakat dan menjadikan rakyat berbelah-bahagi berdasarkan pandangan mereka, titah baginda. 

Titah Sultan lagi, pemimpin politik dan individu berkepentingan pula mengambil kesempatan untuk mewujudkan suasana tidak harmoni dan menghangatkan lagi permusuhan dan polemik sesama Islam.

Menurut baginda pelbagai maklumat kini boleh diperoleh dengan bebas tanpa sistem tapisan yang boleh mengkelaskan antara yang hak dan  yang batil.

Kesannya, titah baginda, berita atau maklumat berbentuk fitnah dan cerita palsu menjadi tular dan dijaja serata tempat.

" Keadaan ini akan menjadi virus yang boleh mengelirukan rakyat dan memperorak perandakan masyarakat yang  sebelum ini ikatan persahabatan mereka terjalin indah, " titah baginda lagi.

Sultan Kedah bertitah demikian semasa merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah bagi Penggal Ke -4 di Wisma Darulaman di sini. Teks titah ucapan baginda disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tan Sri  Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Terdahulu, Tunku Sallehuddin menerima tabik penghormatan dan memeriksa perbarisan anggota keselamatan di pekarangan Wisma Darulaman. Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah.


Sementara itu, Sultan Kedah berharap keadaan negeri ini akan terus stabil dan tamadunnya perlu diperkukuhkan demi kelangsungan masa hadapan rakyat dan negara yang lebih cemerlang.

Baginda juga mahu institusi keagamaan, institusi Raja, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri ini terus dihormati oleh semua pihak.

Menurut baginda lagi,negara kini berada dalam abad ke-21, justeru untuk terus maju dan menghadapi pelbagai cabaran, dunia pendidikan perlu melakukan penambahbaikan.

Dalam hal ini, baginda menzahirkan kebanggaan kerana Kedah menjadi antara negeri dan pelopor awal dalam memartabatkan keunggulan pendidikan terutama yang berkait dengan Islam.

Titah baginda, ini dibuktikan dengan peralihan sistem pengajian pondok kepada kepada pembelajaran yang lebih moden termasuk Maahad Tahfiz Sains yang kerajaan diwujudkan oleh kerajaan negeri di Kulim.- Kedahnews.com 


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com