Suami Isteri Ditahan Disyaki Dalang Sindiket Pindah Gas Bersubsidi


BAYAN LEPAS - Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki mendalangi sindiket memindahkan gas bersubsidi ke dalam tong industri bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah perkampungan, di sini, malam Khamis.

Serbuan 10 malam itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Pulau Pinang hasil risikan selama sebulan dan premis berkenaan turut dikawal dua anjing sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pengarah Cawangan dan Perisikan KPDNKK negeri Suhaimi Mat Sari berkata, premis itu disyaki menjalankan kegiatan memindahkan gas dari tong gas bersubsidi 12 kilogram (kg) dan 14kg ke tong selinder 50kg.

Beliau berkata, dengan keadaan kawasan yang terpencil, kegiatan haram dipercayai dijalankan sejak lebih setahun lalu dihidu pihaknya sebelum serbuan.

Katanya, ketika serbuan pihaknya menahan sepasang suami isteri yang berusia 47 tahun dan empat pekerja warga Indonesia berusia 20 hingga 30-an.

“Kami menemui bilik di bawah tanah dipenuhi tong selinder gas seberat 50kg yang disambung pada hos dari tingkat atas dari tong gas seberat 12kg dan 14kg untuk memindahkan gas.

“Setiap tong selinder gas 50kg mampu mengisi gas dari tiga tong gas seberat 14kg yang hanya ambil masa 30 minit untuk disiapkan.

“Segala kerja pemindahan gas bersubsidi dibuat secara manual dengan setiap bilik dilengkapi alat pendingin haba berkuasa tinggi bagi menghalang berlaku sebarang letupan dan sebagainya,” katanya, di sini, kelmarin.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com