SPRM Cekup Suami Isteri Buat Tuntutan Palsu RM211,646


KUALA TERENGGANU - Pasangan suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 bagi pembekalan telur dan susu kepada jabatan dietetik dan sajian di sebuah hospital di daerah ini antara Februari hingga Julai lalu.

Wanita berkenaan yang juga seorang pembantu tadbir di jabatan berkenaan bersama suaminya yang juga pengurus syarikat yang beroperasi di negeri itu ditahan selepas dipanggil membantu siasatan di Pejabat SPRM, di sini, kira-kira jam 6 petang Ahad.

Suspek berusia 28 tahun bersama suaminya yang berusia 26 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi kelmarin sambil diiringi empat pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, lelaki terbabit dikatakan mengemukakan empat tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan berjumlah RM113,066 bagi pembekalan telur ke jabatan dietetik dan sajian di hospital yang sama pada Februari dan Jun lalu sedangkan pembekalan itu sebenarnya tidak dilakukan.

Selain itu, maklumat awal SPRM turut mendedahkan suspek mengemukakan dua lagi dokumen tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan masing-masing berjumlah RM49,290 bagi pembekalan susu ke jabatan sama pada bulan Jun dan Julai lalu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com