Solat Hajat Mohon Nelayan Ditemui


KIRA-KIRA 3,000 jemaah di empat masjid mengadakan solat hajat, semalam memohon supaya tiga lagi nelayan yang hilang di muara Sungai Kuala Dungun dapat ditemui segera.

Pengerusi Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Zainun Abu Bakar berkata, solat hajat berkenaan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Dungun di empat masjid utama dalam DUN Sura iaitu Masjid Al-Naim, Masjid Tengku Intan Zaharah, Masjid Sungai Udang dan Masjid Padang Jambu.

"Solat hajat dilakukan serentak di empat masjid terbabit selepas solat Jumaat tadi yang disertai hampir 3,000 jemaah terdiri daripada penduduk berhampiran," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Zainun berkata, beliau berharap tiga lagi nelayan yang dikhuatiri lemas itu dijumpai segera selepas seorang mangsa, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, 8.50 pagi semalam.

"Saya dan warga UMNO DUN Sura harap keluarga mangsa tabah menempuh dugaan ini," katanya.

Menurutnya, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Dungun turut menghantar makan minum kepada 90 pasukan mencari danmenyelamat (SAR) yang berkampung di Pantai Kuala Dungun sejak kelmarin.

"Kita sediakan makan dan minum kepada petugas sehingga bilik gerakan operasi itu ditutup," katanya.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27; dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com