RCI Tak Izin Campur Tangan Luar Sepanjang Prosiding Skandal Forex - Sidek Hassan


PUTRA JAYA - Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang campur ta­ngan daripada pihak-pihak yang tiada kaitan dengan prosiding itu sepanjang pendengarannya di Mahkamah Rayuan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, suruhanjaya itu hanya akan memberi tumpuan kepada terma-terma rujukan yang telah ditentukan bagi membolehkannya menyempurnakan siasatan dan seterus­nya menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.

Menurut beliau, panel bersidang diberi kuasa memperoleh dan menerima segala keterangan serta menyoal saksi-saksi sepanjang tempoh 10 hari pendengarannya di mahkamah terbuka bermula 21 Ogos ini.

“Oleh kerana kekangan masa tiga bulan yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, suruhanjaya akan memfokus kepada terma-terma rujukan dan tidak akan membenarkan campur tangan daripada pihak yang tiada kaitan dengan prosiding,’’ ujarnya ketika membacakan ucapan pembukaan pada prosiding pertama siasatan itu yang berlangsung di Istana Kehakiman Selasa.

Sebelum itu, Mohd. Sidek menolak permohonan dua pe­mimpin pembangkang untuk menggugurkan beliau dan seorang lagi ahli panel, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon daripada menganggotai suruhanjaya tersebut.

Beliau berpendapat, suruhanjaya siasatan itu ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati agar pro­sidingnya diteruskan.

Sumber : Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com