Rakyat Perlu Tolak Pembangkang, Tiada Keperluan Tukar Kerajaan Sekarang - Najib


ALOR SETAR - Rakyat Malaysia diminta tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk menukar kerajaan yang memerintah pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sejak merdeka perlu dipertahankan oleh rakyat dengan menolak cita-cita besar pembangkang itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengingatkan hal itu menegaskan, pembangkang kini cuba lagi  menghasut rakyat untuk menukar kerajaan sedangkan mereka juga bermasalah dan tidak mungkin mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

"Peningkatan ekonomi negara serta pengiktirafan yang diberi terhadap Malaysia oleh pelbagai pihak, termasuk dari negara lain, membuktikan pembangunan negara berada di landasan yang tepat, " kata Najib.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia kini mendapat pengiktirafan pelbagai pihak seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan agensi penarafan kredit iaitu Fitch serta Standard and Poor menunjukkan kekukuhan ekonomi negara.

Ekonomi yang kini meningkat 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini iaitu antara yang tertinggi di peringkat global, tidak boleh dinafikan, kata Perdana Menteri.

"Selain itu negara juga mendapat pengiktrafan daripada ulama tersohor Tunisia, Sheikh Rashid Al Ghannushi yang menyatakan Malaysia adalah gambaran dan imej Islam sebenar di dunia," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika  berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Komplek Sukan Perdana  semalam yang dihadiri lebih 10,000 ahli parti dan orang ramai. 

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Tajuddin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Presiden UMNO berkata Sheikh Rashid yang mengetuai parti terbesar di Tunisia itu dalam temuramah sebuah stesen televisyen Arab Saudi telah menyebut mengenai imej dan gambaran Islam di Malaysia adalah antara yang terbaik dunia.

"Selain itu, hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi melalui Raja Salman (Abdulaziz al-Saud) sehingga negara mendapat tambahan kuota teristimewa jemaah haji negara dan kelebihan cop pasport di Malaysia dan tidak perlu berbuat demikian lagi di Jeddah ketika musim haji," katanya.

Najib berkata tidak ada negara lain yang mendapat keistimewaan tersebut dan beliau berharap keistimewaan berkenaan juga dapat dibenarkan ketika melakukan umrah di Tanah Suci.

Beliau turut menyelar pemimpin pembangkang kerana bersungguh-sungguh kononnya untuk membuat pembaharuan sedangkan ada kalangan mereka yang pernah menjadi menteri besar gagal berbuat demikian ketika diberi kuasa.

(Walapun tidak menyebut nama pemimpin itu, Menteri Besar yang beliau maksudkan ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah memimpin negeri ini dua tahun lebih dan kini mengetuai parti PPBM serta bekerjasama  dengan DAP untuk menentang UMNO.dan kerajaan. 

"Bila hujung minggu dia balik Kuala Lumpur. Sepatutnya hari hujung minggu itulah waktu bertemu rakyat. Jumpa dan dampingi rakyat. Nak tahu keluh kesah orang kampung, penoreh getah dan pesawah padi. Hari minggulah kita buat kerja.

"Saya hari minggu pun kerja. Saya jaga kawasan. Kita sebagai wakil rakyat kena kerja. Waktu jadi wakil rakyat mana-mana pemimpin pun tak hebat tanpa sokongan orang bawahan," katanya.

Najib yang menggunakan analogi pasukan bola sepak mahukan seluruh anggota UMNO agar bekerja sebagai satu pasukan kerana jika sedikit kesilapan berlaku sama ada sengaja atau tidak boleh menyebabkan kekalahan kepada parti.

"Hantaran bola yang cantik dan tepat boleh jaringkan gol tetapi kalau pertahanan buat silap, gol kita boleh bolos," katanya yang mengambil contoh perlawanan bola sepak Malaysia menentang Myanmar yang berkesudahan tuan rumah menang 3-1 pada peringkat kumpulan di Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini.- Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com