'Raja Bukan Monumen Hiasan Yang Kaku' - Sultan Perak


PERKARA dipersetujui ketika Penggubalan Merdeka yang menyentuh prinsip asas terutama Islam dan Melayu tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah ia tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak baik organisasi mahu pun individu.

Baginda bertitah, prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.

"Walau apa sekali pun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah.

“Ummah wajib berdiri teguh, berpendirian tegas, tidak berundur walau setapak sekali pun," titahnya pada Konvokesyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya, semalam.

Sultan Perak bertitah, pandangan berterus terang Raja-Raja dalam perkara berkaitan Islam, Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa serta pelbagai lagi adalah tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur.

"Raja tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja, rakyat bersultan. Raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas keraian semata-mata.

"Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku, tanpa nyawa, tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

"Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-Raja," titahnya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com