Polis Buka Dua Kertas Siasatan Berhubung Isu TPM Dan Tun Mahathir


KUALA LUMPUR - Polis membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap laporan berkenaan.

“Perlu saya jelaskan, setiap laporan polis yang dibuat, kami akan ambil tindakan sewajarnya dan dalam kes ini kita sudah membuka dua kertas siasatan.

“Apabila kertas siasatan sudah dibuka, kami akan panggil semua individu yang terbabit untuk rakam keterangannya, ini termasuklah Tun Dr Mahathir sendiri,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Sambutan Hari Hijau PDRM 2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, semalam.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan kemudian akan dihantar ke pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut. “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Khamis lalu, 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berikutan kenyataannya yang didakwa mengancam keselamatan politik negara.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com