Pertahan Pendidikan Pelbagai Aliran, Masyarakat Wajar Hargai Pengorbanan BN


KULIM - Masyarakat diingatkan agar sentiasa menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan sistem pendidikan yang ada sekarang.

Anggota Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sistem pendidikan pelbagai aliran yang ada sekarang adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap warga negara mendapat pendidikan melalui aliran yang dimahukan.

"Cuba lihat apa yang terjadi di Singapura, Thailand serta Indonesia yang mana sebaik saja mereka meraih kemerdekaan, sistem pendidikan mereka terus ditukar kepada satu aliran. Suka atau tidak suka bahasa yang digunakan, hanya itu saja pilihan yang ada untuk rakyat mereka mendapat pendidikan.

"Berbeza dengan kita, sejak merdeka, kita tetap wujudkan sistem pendidikan mengikut aliran seperti sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta aliran Inggeris. Jadi, kita patut sentiasa rasa beruntung," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Padang Serai di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, dasar pendidikan negara yang ada sekarang mampu memberi pendidikan terbaik kepada setiap kaum yang ada.

Jelasnya, biarpun ada pihak yang mahu sistem pendidikan negara sekarang dikaji semula bagi mewujudkan perpaduan nasional kerana kaedah yang diguna pakai sekarang terutama dengan kehadi ran sekolah pelbagai aliran menyukarkan berlakunya silang budaya dalam kalangan murid dan pelajar, ia tidak akan menjejaskan intipati utama dasar pendidikan negara.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menggesa perwakilan di Padang Serai menguatkan saf dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kekuatan kerjasama, kesetiaan dan kepercayaan antara anggota perwakilan sangat penting kerana parti pembangkang akan sentiasa membuat kacau dalam kawasan yang diwakili BN termasuk menabur fitnah terutama sewaktu pilihan raya semakin hampir nanti.

"Jadi, anggota perwakilan yang ada, tidak boleh sikit-sikit nak kecil hati, nak merajuk malah cepat kelam-kabut jika ada isu yang timbul di kawasan mereka. Kena ingat, bila kita kalah, kekalahan itu bukan disebabkan orang luar tetapi kita sendiri," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com