Perkenan Agong Memadai Untuk Tolak Bantahan Mahathir, Anwar - RCI


PUTRAJAYA -  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia pada sekitar tahun 1990-an dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong akan memulakan prosiding bermula 21 Ogos ini.

Prosiding itu akan .tetap berjalan walaupun menerima bantahan daripada peguam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang komposisi ahli panel. RCI itu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata suruhanjaya itu berpuas hati agar ahli-ahli panel itu memulakan prosiding siasatan selama 10 hari bermula pada 21 Ogos ini.

Sidek menjelaskan prosiding RCI berbeza dengan perbicaraan mahkamah yang mana ia terdiri daripada pendakwa raya, malahan RCI ditubuhkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakannya.

“Suruhanjaya mengambil maklum suruhanjaya ini ditubuhkan atas restu Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh yang sedemikian, kami sudah membuat keputusan untuk meneruskan (prosiding),” kata Sidek.

Mohd. Sidek mempengerusikan suruhanjaya itu manakala Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail bertindak selaku setiausaha.

Anggota-anggota lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan;  dan Ahli Institut Akauntan Malaysia,  K. Pushpanathan.

Sebelum itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam pemerhati Tun Dr. Mahathir  Mohamad dan R. Sivarasa yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar mereka diberi peluang mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mencabar komposisi ahli panel atas isu berat sebelah.

Peguam itu menyatakan, Mohd. Sidek yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon sebelum ini terlibat dalam pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan suruhanjaya itu.

Mohamed Haniff Khatri menyatakan, penglibatan kedua-duanya dikhuatiri menimbulkan persepsi awam bahawa suruhanjaya itu tidak berlaku adil ketika mengendalikan siasatan.

Sementara itu, Sivarasa turut mengemukakan permohonan secara bersama agar kedua-dua peguam pemerhati diberi peluang menyoal balas saksi-saksi secara aktif sepanjang prosiding berlangsung.

Antara bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

* Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

* Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

* Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

* Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

* Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. 

Menurut Sidek lagi, laporan penuh inkuiri RCI akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka siap untuk dikeluarkan kepada awam pada 13 Oktober depan.

Julai lalu,Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penubuhan suruhanjaya berkenaan di bawah Akta Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2017.

RCI dijangka dapat merungkai isu-isu yang membelengu negara sejak 23 tahun lalu di mana ketika itu, negara mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion dalam skandal forex dan kesannya masih dialami sehingga kini. - kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com