Penyokong Bola Sepak Indonesia Cedera Ditumbuk


PENYOKONG bola sepak Indonesia cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki berdekatan Hentian Bas Persiaran Sukan Seksyen 13, Shah Alam, 3.54 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, lelaki berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan pada tangan akibat ditumbuk oleh beberapa individu.

"Mangsa adalah kumpulan kecil yang menunggu bas untuk pulang ke rumah sebelum didatangi kumpulan membuat kecoh.

"Ketika cuba melarikan diri, mangsa dipukul kumpulan itu. Dia kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Menurut beliau, siasatan dan operasi untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan pihaknya.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, kata Shafien, polis ada menerima laporan polis berhubung insiden letupan mercun dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika aksi perlawanan dengan Indonesia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

"Polis memandang serius terhadap isu keselamatan stadium terutama keselamatan semua pihak termasuk penonton, pemain dan pegawai yang berada di stadium," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua kejadian itu supaya menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com