Pensyarah Koma Di Hospital Sydney Perlu Bantuan


IPOH - Bantulah kami! Itu luahan ahli keluarga seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital St Vincent, Sydney, Australia.

Md Zahir Mat Cha, 51, kini terlantar di hospital itu sejak Isnin lalu akibat serangan angin ahmar selepas  terjatuh dalam bilik air di hotel penginapannya, 31 Julai lalu.

Keluarganya kini gelisah dibelenggu masalah kewangan bagi menyelesaikan kos perubatan dan peralatan untuk membawanya segera pulang ke tanah air.

Kakaknya, Azizah Mat Cha, 57,  berkata, ahli keluarganya masih memerlukan bantuan kewangan dan mereka sedang berusaha mengumpulkan dana sendiri dan orang ramai yang prihatin.

Menurutnya, kos rawatan terkini sejak 31 Julai lalu  mencecah kira-kira AUD$127,928 (RM434,955) dan dijangka meningkat.

“Sehingga ini, kami hanya mampu mengumpul dana berjumlah RM145,000 iaitu RM75,000 sumbangan UUM dan kutipan saudara mara dan orang ramai RM70,000.

“Sumbangan UUM bernilai RM75,000 itu sudah dikirim ke Australia melalui akaun Konsulat Malaysia di sana untuk membayar kos perubatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Villa Perpaduan, Ulu Kinta.

Menurutnya, keluarganya sedang berusaha bersama Kedutaan Malaysia dan pihak hospital, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, Kementerian Kesihatan dan Biro Kebajikan Umno Malaysia untuk membawa pulang Md Zahir segera.

“Saya bagi pihak ahli keluarga terlebih dahulu merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak dalam usaha memberi rawatan terbaik dan membawa pulang Md Zahir dengan kadar segera.

“Terima kasih juga kepada mereka yang  prihatin dan menghulurkan sumbangan wang bagi membantu meringankan beban kewangan yang dialami ahli keluarga saya ketika ini, “katanya.

Azizah berkata, adiknya berada di Australia kerana sedang mengikuti program Study Visit Tour For Management Council Member anjuran  Kedah Industrial Skills And Management Development Centre (KISMEC) dan  beliau adalah salah seorang ahli lembaga pengarahnya.

Azizah berkata, adiknya dijangka boleh dibawa pulang pada hujung minggu ini.

Sementara itu, isteri Md Zahir, Alawiyah Md Jasin, 50 berkata, dia kini menyewa di Boundary Street dengan bayaran AUS$30 sehari.

"Saya berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer setiap hari bagi menemani suami di hospital.  Semua perbelanjaan harian ditanggung sendiri.  

"Saya sentiasa berdoa agar dapat segera pulang ke tanah air seterusnya membawa suami menerima rawatan lanjut di negara sendiri.

 “Walaupun sedih, saya tetap bersabar dan cekal menghadapi dugaan ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com