Pengusaha Pertanian Disaran Tingkat Pengeluaran, Utamakan Kualiti Makanan


KULIM - Peladang, penternak dan nelayan di Kedah disaran melakukan tranformasi bagi meningkatkan pengeluaran di samping mengutamakan kualiti makanan yang selamat dengan memodenkan sektor tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tiga golongan utama yang membekalkan makanan  di  negeri ini perlu mengambil inisiatif membabitkan diri dengan aktif dalam pelbagai teknologi  berkaitan bagi memodenkan kaedah yang mereka gunakan agar mampu berdaya saing.

Beliau berkata tranformasi itu selaras dengan tema sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri  (HPPNK) 2017 iaitu Makanan Kita, Masa Depan Kita.

"Kita tidak boleh hanya selesa sebagai pengeluar makanan utama tetapi perlu mengorak langkah untuk mendapatkan juga pensijilan myGAP (skim amalan pertanian baik Malaysia) dan myOrganic.

"Hasil ladang yang mendapat pensijilan myOrganic ini adalah hasil tanaman yang dijamin selamat dan berkualiti untuk dimakan yang telah dianalisis di makmal seperti perlu bebas daripada bahan kimia sintetik, bebas GMO (organisme yang diubah suai secara genetik), memelihara alam sekitar, bebas pencemaran najis terlarang dan menjamin keselamatan pekerja," ujarnya.

 Beliau menyatakan perkata itu semasa berucap merasmikan program HPPNK 2017, di Dataran Kulim di sini kelmarin.

Ahmad Bashah juga berharap peladang, penternak dan nelayan akan terus meningkatkan produktiviti makanan dengan memastikan pengeluaran hasil  pertanian negara berada pada tahap terbaik terutama dari sudut kualiti dan keselamatan.

Bagi memastikan perkara tersebut direalisasikan, pihak kerajaan sentiasa berusaha dan bertekad untuk terus membangunkan ketiga-tiga sektor ini termasuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bantuan pinjaman, peluang dan ruang pemasaran produk, insentif kewangan serta penggunaan teknologi terkini.

"Dengan pelbagai kemudahan untuk ketiga-tiga golongan ini, kita mahu mereka terus maju dan dalam masa yang sama, kita memahami kerja-kerja dalam ketiga-tiga sektor ini bukannya mudah namun ia penting dalam memastikan bekalan makanan sentiasa cukup untuk negara," katanya.



Dalam pada itu, beliau turut menyeru generasi muda terutamanya graduan untuk memilih tiga sektor ini sebagai profesion kerana pulangannya juga lumayan.

"Saya menyeru supaya graduan mengambil peluang ini dengan menjadikan sektor-sektor ini sebagai satu profesion.

"Ini penting untuk membantu memajukan sektor ini dengan perkongsian idea baharu dan lebih moden daripada generasi muda ini dalam meningkatkan mutu dan pengeluaran.

"Kerajaan juga telah sediakan pelbagai kemudahan termasuk pinjaman dan kursus-kursus kepada graduan yang ingin menceburi bidang ini, jadi rebutlah peluang yang telah disediakan ini," katanya.

Menyentuh mengenai sambutan HPPNK 2017 yang julung kalinya diadakan di luar Alor Setar, Ahmad Bashah percaya ia adalah cara terbaik mendekatkan produk ketiga-tiga sektor ini kepada orang ramai.

Jelasnya, besar kemungkinan sambutan tersebut akan diadakan di daerah lain jika keadaan mengizinkan


Sumber : Bernama







No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com