Penduduk Di Melaka Cemas, Pertama Kali Kampung Dilanda Banjir Kilat


AYER KEROH - Lebih 300 penduduk di beberapa lokasi di negeri Melaka terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.

Kejadian ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka kalangan penduduk.

Seorang penduduk, Azlina Awang, 35 tahun, yang telah lebih 30 tahun menetap di kampung Sungai Putat dekat sini mendakwa kawasan kediamannya tidak pernah sekalipun mengalami banjir.

“Sejak lebih 30 tahun menetap di sini, inilah kejadian pertama membabitkan banjir,” kata Azlina.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia hanya menyedari air memasuki kediamannya sekitar 7.30 pagi selepas kakinya tiba-tiba terasa basah ketika sedang bersarapan bersama suami serta anaknya.

Azlina yang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Munsyi Abdullah berkata hujan mulai lebat sejak 2 pagi semalam.

Dia bagaimanapun tidak membuat sebarang persediaan berpindah memandangkan lokasi kediamannya tidak pernah berlaku banjir walaupun hujan pernah turun berterusan selama hampir seminggu.

“Sejak 30 tahun, ini merupakan kali pertama kami berhadapan dengan banjir teruk. Biasanya, kalau hujan dua atau tiga hari pun tak pernah macam ini,” katanya.

“Air mula naik sejak jam 7 pagi tadi. Semua barang dalam rumah musnah, dari dapur ke ruang tamu, semuanya habis,” kata Azlina.

Jelasnya, beliau mendakwa kejadian ini berkemungkinan berpunca daripada sistem perparitan serta saliran yang melibatkan taman perumahan yang baharu dinaikkan berhampiran kediamannya yang tidak dibina dengan betul.

Tegas Azlina, meskipun beliau menganggap air yang masuk kerumahnya separas hampir 0.7 meter itu sebagai ujian daripada Allah, namun beliau meminta pihak berkuasa untuk mengkaji punca sebenar bagi memastikan ianya tidak berulang.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar ketika mengadakan lawatan ke PPS mangsa banjir di SMK Munsyi Abdullah berkata bantuan sewajarnya kepada kira-kira 77 buah kelurga yang terjejas di sekitar negeri itu akan disegerakan.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Negeri, Jabatan Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa jabatan berkaitan untuk melaporkan segera punca banjir kilat ini berlaku.

Naim berkata pihak kerajaan negeri akan memandang serius kejadian kali ini lebih-lebih lagi apabila melibatkan kawasan yang tidak pernah terjejas bencana banjir sebelum ini.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com