Pemuda Patah Tiga Tulang Belakang, Paru-Paru Cedera Di Baling


ALOR SETAR - Seorang pemuda diuji dengan dugaan yang berat pada usia yang begitu muda apabila dirinya lumpuh setelah terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada April lalu.

Muhamad Nur Shahmi Murat, 21, disahkan  patah tiga daripada tujuh bahagian tulang belakang, cedera parah di paru-paru termasuk di bahagian punggung.

Nur Shahmi pada kejadian bersama ibunya Salmiah Dawiod, 56, perjalanan pulang dari Kuala Ketil ke rumah sebelum bertembung dengan lori ais yang membuat pusingan U secara tiba-tiba.

"Saya yang membonceng cedera biasa, tapi anak patah tiga daripada tujuh bahagian tulang belakang. Sekarang anak hanya mampu terlantar di atas katil.

"Bila dia semakin sihat, saya harap dapatlah dia sekurang-kurangnya duduk atas kerusi roda. Kesian tengok anak asyik terlantar sampai penuh ruam di belakang," katanya.

Keluarga yang tinggal di Kampung Binjul Luar, Baling dan hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mampu untuk membeli kerusi roda dan mereka sangat memerlukan bantuan dan sumbangan untuk memilikinya.

Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) daerah Baling bersama Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Kemajuan dan Keselamatan ( JKKK) Binjui Luar serta Penyelaras Dun Kuala Ketil, menziarahi Muhamad Nur Shahmi di rumahnya.

Jelas Salmiah lagi, sebanyak RM 300  dan lebih diperuntukkan setiap bulan bagi memastikan tahap kesihatan anak kedua daripada empat beradik itu sembuh.

"Air cuci punggung dia guna dalam tiga botol sebulan, harganya dalam RM 100 lebih. Lain-lain tu saya beli susu khas, sebulan dalam tiga din diperlukan termasuk lampin pakai buang dan kapas dan sarung tangan cuci luka," katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, pesakit bakal menerima Bantuan Pesakit Terlantar bermula Ogos secara bulanan.

"Sebelum Aidilfitri tahun ini, kita juga luluskan bantuan segera RM300," katanya.

Penyeras Dun Kuala Ketil, Datuk Khairul Azhar Abdullah berkata, Pejabat Parlimen Baling menyediakan Perkhidmatan ambulans secara percuma  dalam menghantar pesakit menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

"Sekiranya pesakit belum terima bayaran daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), saya harap ia disegerakan," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi nombor akaun 08221-29-87752281-2 atas nama Salmiah Dawood atau hubungi talian 013-5207686.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com