Pemuda Diarah Gempur Usaha Mahathir Hancurkan UMNO - Khairul Azwan


ALOR SETAR – UMNO perlu dipertahankan kerana di Kubang Pasu bermulanya kesetiaan dan wala’ ahli parti kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersama pembangkang termasuk DAP untuk menghancurkan UMNO, parti yang menjulang beliau dahulu.

Oleh itu usaha dan strategi untuk mempertahankan parti keramat UMNO daripada terus diserang dan cuba dihancurkan Dr Mahathir perlu bermula di Kubang Pasu.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun menegaskan, ahli UMNO di bahagian itu tidak perlu takut dengan 'bayang-bayang Dr. Mahathir’ sebaliknya bangkit menentang bekas pemimpin yang mempunyai banyak helah dan strategi untuk memecahkan UMNO.

“ Kubang Pasu merupakan 'simbolik' kepada berpusatnya kepimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri.

"Di Kubang Pasu ini kita sedar musuh nombor satu kita ketika ini ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang cukup kita sayangi suatu ketika dahulu.

Di sinilah kita menyaksi dan melafazkan kesetiaan dan wala' kita kepada dia suatu ketika dahulu, bahkan waktu itu kita tahu macam-macam perkara, tindakan dan pengakuan yang dia buat, tapi kerana wala' kita mengizin, membenar dan menghalalkan apa jua tindakan dan ungkapan dikeluarkan beliau," kata Khairul Azwan.

Khairun Azwan mengingatkan perkara itu  semasa  berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Kubang Pasu di Dewan Institut Kemahiran Belia Jitra di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar dan Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Hasmuni Hassan.

Sementara itu kata Khairul Azwan, laluan yang telah dipilih oleh Dr Mahathir tanpa ada paksaan oleh ahli UMNO, pilihan dibuat sendiri oleh beliau untuk meninggalkan parti  dan bukannya dipecat.

“ Dr. Mahathir yang juga bekas Ketua UMNO Kubang Pasu sendiri pilih untuk menentang kita, dia sendiri pilih untuk meninggalkan kita... " katanya lagi .

Menurut beliau lagi sudah tiba masanya anggota dan pemimpin UMNO di kawasan itu mengguna pakai taktik ‘ala ketenteraan’ dalam menentang 'musuh nombor satu negara' itu.

"Kalau masuk medan perang dan musuh cuba menyerang kita, maka kita mesti tembak dahulu dan untuk mengalahkan musuh kita mesti tembak di kepala, bukan kaki atau tangan.

"Hari ini itulah kita perlu buat untuk berhadapan dengan Dr Mahathir... hulubalang dan panglima perang mesti cari jalan untuk kalahkan dia dan bala tenteranya," katanya secara kiasan.

Parlimen Kubang Pasu kini disandang oleh Ketua UMNO Bahagian itu Datuk Seri Mohamad Johari Baharom yang juga Timbalan Menteri Pertahanan. – Kedahnews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com