Pemimpin UMNO Kedah Digesa Dengar Suara Rakyat, Jangan Ulangi Kesilapan PRU12



SUNGAI PETANI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan empat langkah perlu dilakukan pemimpin UMNO dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau juga meminta ahli dan pemimpin tidak lagi mengulangi kesilapan yang dilakukan pada PRU tahun 2008 kerana dibuai dengan keselesaan dan 'berperang' sesama sendiri hingga menyebabkan pentadbiran BN di negeri ini tumbang.

Ahmad Zahid berkata langkah pertama yang perlu diambil, pemimpin mesti turun ke bawah mendekati akar umbi pada setiap masa supaya tidak digelar pemimpin bermusim yang hanya turun sewaktu pemilihan parti dan pilihan raya umum sahaja.

"Dengarlah suara akar umbi...kita bukan (pemimpin) bermusim, kita pemimpin setiap masa tanpa musim. (Langkah) kedua pemimpin harus sehaluan. Tidak ada seorang pun dalam kalangan kita (anggota UMNO) mahu tengok pemimpin bergaduh," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Merbok di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bahsah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Merbok,  Datuk Tajul Urus Mat Zain,, Ahli Parlimen  Merbok, Prof Dr. Ismail Daut serta pemimpin sayap parti,

Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata sekiranya pemimpin ingin memilih calon untuk pilihan raya umum perlulah memilih calon yang boleh menang dan disukai dalam langkah ketiga manakala langkah keempat pula pemimpin mestilah keluar daripada zon selesa.

Sementara itu kata beliau, UMNO Kedah perlu belajar dari sejarah bagi memastikan parti itu tidak tumbang kepada pembangkang yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 terdapat dua kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga menyebabkan rakyat memberi undi kepada pembangkang sekali gus membenarkan mereka memerintah negeri ini selama sepenggal.

“Pertamanya, UMNO Kedah pada waktu itu terbuai dalam zon selesa kerana rakyat memberikan kita majoriti besar dalam pilihan raya umum sebelumnya.

“Ekoran daripada itu, timbul masalah kedua iaitu bergaduh sesama sendiri. Itulah ‘budaya’ kita sejak sekian lama... Kalau tak perang dengan orang luar, perang sesama sendiri sehingga menyebabkan kita kalah,” katanya. -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com