Pemimpin PKR Tak Letak Jawatan Sebab Tunggu Bayaran Tunggakan Kerajaan Negeri


ALOR SETAR - Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tampil memberi penjelasan bahawa pemimpin PKR Kelantan sedang menunggu pembayaran tuntutan yang tertunggak dari Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Oleh kerana itu katanya, pemimpin PKR yang mendapat jawatan melalui lantikan politik itu masih tidak meletak jawatan di dalam Kerajaan Negeri selagi tidak meneriman bayaran tuntutan tersebut.

"Sejak bersama kerajaan Kelantan, mereka menggunakan wang sendiri untuk peruntukan kepada rakyat.

"Jadi, sekarang mereka menunggu pembayaran semula tuntutan yang telah dibelanjakan," kata isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semalam yang dipetik dari laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR telah mengeluarkan arahan tegas supaya semua penjawat lantikan politik PKR di Kelantan meletakkan jawatan ekoran kerjasama politik (tahaluf siyasi) antara parti itu dengan PAS terputus.

PAS sebelum ini mempelawa PKR untuk menyertai sebuah lagi gabungan parti politik pembangkang, Gagasan Sejahtera, namun PKR lebih selesa dan memilih untuk bersama DAP, PPBM dan PAN di dalam Pakatan Harapan.

Ekoran itu, PAS bertindak sebulat suara menamatkan hubungan dan kerjasama politik dengan PKR pada Muktamar PAS yang berlangsung di Kota Sarang Semut yang diputuskan menerusi Majlis Syura. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com