Pemilik Slumber Pet Pernah Hantar Kucing Pelanggan Sampai Thailand


KUALA LUMPUR - Menghantar ‘si bulus’ milik pelanggannya ke Chiang Rai, Thailand yang jauhnya lebih 2,000 kilometer antara yang pernah dilakukan Slumber Pet Teksi, penyedia perkhidmatan pengangkutan bagi haiwan seperti kucing dan arnab.

Pemilik Slumber Pet Teksi Muhamad Asmawei Safizan, 21, berkata, dia mula menyediakan perkhidmatan itu sejak lapan bulan lalu dan beroperasi di Petaling Jaya.

“Ramai pemilik haiwan kesayangan berdepan kekangan masa untuk menghantar haiwan peliharaan seperti kucing ke klinik atau menata rias.

“Oleh itu, kami sediakan perkhidmatan ini sejak awal tahun lalu. Kami akan ke rumah pelanggan dan ambil haiwan mereka untuk dihantar ke klinik, bagi rawatan atau menata rias yang turut ditawarkan syarikat saya,” katanya.

Menurutnya, dia ‘menjemput’ haiwan itu dengan motosikal atau kereta.

“Jika hanya berhampiran lokasi pejabat kami di Petaling Jaya, saya akan bawa beg khas untuk membawa haiwan itu dengan motosikal. Harga yang dikenakan bermula daripada serendah RM10 saja,” katanya.

Muhamad Asmawei berkata, dia pernah menghantar haiwan kesayangan milik pelanggannya ke luar negara.

“Tanpa mengira lokasi dan waktu kami sedia menghantar kerana saya juga sangat cintakan haiwan,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Slumber Pet Teksi, Noraini Zainul, 28, berkata, perkhidmatan itu memudahkannya kerana perlu membawa kucingnya ke klinik haiwan berjumpa veterinar setiap bulan.

“Setiap bulan kucing saya perlu ambil ubat serta suntikan vaksin. Saya tiada kenderaan dan susah untuk saya hantar.

“Dengan adanya perkhidmatan itu, saya tidak perlu fikir panjang dan ia menyenangkan saya selain menjimatkan masa kerana semua diuruskan oleh Slumber Pet Teksi,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com