Pemandu GrabCar Cabul Penumpang Didenda


KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Grab Car didenda  RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul kehormatan penumpang wanita.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Asrul Rosli, 26, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu ke atas seorang wanita berusia 21 tahun di dalam kereta jenis Produa Myvi, di sini antara 2 hingga 3 petang pada 17 Mei lepas.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Muhammad Asrul yang belum berkahwin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaaan itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung ibunya yang sakit manakala Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah duduk di hadapan bersebelahan tertuduh dan semasa di dalam kereta tertuduh berbual serta mengajak mangsa menemaninya meronda di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun mangsa enggan lalu tertuduh memberhentikan keretanya dan bertindak memegang bahu serta menggosok peha mangsa menyebabkan wanita itu bertindak keluar dari kereta sebelum membuat laporan di balai polis berdekatan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com