Pelepasan Udang Galah Paling Banyak Cipta Sejarah Malaysia Book Of Record


REMBAU - Lebih 1.13 juta benih udang galah dilepaskan di Sungai Timun, di sini, hari ini, sekali gus mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pelepasan benih udang air tawar paling banyak di negara ini.

Acara Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dengan kerjasama sebuah syarikat pengendali pusat penetasan benih udang galah di Pasir Panjang, dekat sini, bertujuan memastikan spesies udang berkenaan tidak pupus.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan, berkata program itu dapat menambah stok udang galah yang semakin berkurangan akibat penangkapan tidak terkawal dan pencemaran sungai.

"Kita percaya pemilihan lokasi pelepasan di Sungai Timun adalah tepat kerana sungai ini terkenal dalam kalangan pemancing yang memburu udang galah serta pelbagai spesies ikan.

"Sepanjang tahun lalu, seramai 680 pemancing rekreasi datang memancing di sungai ini dan jumlah itu biasanya akan meningkat selaras pertambahan bilangan hidupan sungai, termasuk ikan dan udang galah.

"Justeru, program ini juga dapat meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan dan penduduk tempatan selain mendidik masyarakat menghargai sungai dan hidupan yang mendiaminya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian acara itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Pangkalan Nelayan Sungai Timun, di sini, sehari.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat menambah populasi udang galah di sungai terbabit, sekali gus memberi pendapatan kepada nelayan darat.

"Selain bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap golongan itu dan meluluskan peruntukan RM50,000 bagi pelepasan lebih 100,000 benih ikan, termasuk spesies lampam, baung, kelah, kerai dan patin di beberapa kawasan sungai dan empangan di seluruh negeri, sepanjang tahun ini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com