PAS Sambut Baik, Sokong Penubuhan JKMMS Oleh Kerajaan BN


KUALA LUMPUR – PAS menyambut baik langkah kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi memperkasakan sistem perundangan Syariah di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PAS menyambut baik cadangan kerajaan manubuhkan JKMMS seperti yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Langkah ini bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Kelmarin, Jamil Khir memaklumkan, penubuhan JKMMS itu dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam usaha memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan.

Tuan Ibrahim berkata, Mahkamah Syariah merupakan institusi kehakiman paling awal wujud dalam negara dan perkembangannya terhenti setelah negara dijajah British.

Justeru, katanya, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah itu diharap dapat mengatasi puluhan kes tertunggak di Mahkamah Syariah.

“Semoga usaha ini akan berjaya meletakkan martabat mahkamah syariah di tempat yang lebih baik,” katanya.

PAS sebelum ini turut membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen bagi memperkasakan perundangan Syariah.

Pembentangan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan apabila pemimpin Pakatan Harapan menimbulkan kekecohan kerana membantah cadangan tersebut.

Pemimpin DAP menegaskan bahawa RUU 355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum hudud yang ketinggalan zaman, zalim dan menindas golongan wanita.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendakwa RUU 355 perlu ditolak kerana ia mengelirukan, menimbulkan kebimbangan bukan Islam dan melanggar hak asasi. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com