Pagoh Buat Keputusan Tepat Setia Bersama UMNO - Khaled Nordin


PAGOH  - UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan dengan sempurna dan berjaya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya gabungan itu kalah akan menyebabkan agenda bangsa terbantut dan perjuangan agama terkandas.

“Kita telah memulakan banyak perkara besar dan kita mesti berupaya untuk menerus dan menyempurnakannya. Johor mesti menang dengan majoriti dua pertiga dan kerajaan Persekutuan juga mesti dibentuk dengan majoriti yang sama.

“Tanpa semua ini, kita tidak akan dapat menjadi kerajaan yang kuat dan efektif serta tidak boleh terus mentadbir dalam keadaan kita berkuasa tetapi sangat terbatas,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar di sini semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikkan persidangan itu yang turut hadir Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Sementara itu, Khaled yang juga Menteri Besar berkata, kematangan dan kesetiaan UMNO Pagoh dalam menghadapi krisis perlu dicontohi oleh semua bahagian di seluruh negara.

Ujar beliau, kebijaksanaan UMNO menghadapi krisis dan memulihkan bahagian itu juga wajar dicontohi. Jentera parti di bahagian Pagoh juga berfungsi dengan baik walaupun melibatkan bekas Ketua Bahagian yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"UMNO Pagoh tahu, dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli. Ia tidak seharusnya ditukar ganti.

"Maka UMNO Pagoh membuat keputusan paling sukar, namun tepat iaitu untuk kekal setia dengan parti," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com