Operator Kilang Didenda RM40,000 Simpan Hidupan Liar


KUALA LUMPUR - Seorang operator kilang didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menyimpan hidupan liar, Mac lalu.

Intan Mazura Mohd Mokhtar, 36, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Harmi Thamri berkata, hukuman diberi harus menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana hidupan liar perlu dilindungi.

Terdahulu, beliau memerintahkan tertuduh didenda RM5,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan ketiga serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, keempat dan kelima, tertuduh didenda masing-masing RM10,000 serta penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh dituduh menyimpan dua ekor Musang Pulut dan seekor Lotong Cengkung jantan tanpa lesen.

Dia didakwa mengikut Seksyen 60(1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh dituduh menyimpan seekor Musang Pulut dan enam Lotong Cengkung betina tanpa lesen.

Dia didakwa mengikut Seksyen 62 Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kelima, dia dituduh menyimpan seekor Kucing Batu jantan tanpa permit dan didakwa mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbuatan didakwa dilakukan di premis kediaman beralamat F-10-6 Jalan Ampang Kiri No 6 Desa Pasifik, jam 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Nur Ainaa Ridzuan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Ia berikutan tindakan tertuduh menempatkan spesies haiwan terbabit di tempat bukan habitat asal yang boleh menyebabkan kematian.

A Prema yang bertindak sebagai peguam tertuduh dalam rayuannya memohon anak guamnya hanya didenda atas alasan ia adalah kesalahan pertama dan tertuduh wajar diberi peluang kedua.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com