Oktober Diumum Bulan Kesiapsiagaan Negara


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah bersetuju supaya Oktober tahun ini diumumkan sebagai Bulan Kesiapsiagaan Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, langkah itu diambil bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa membuat persediaan awal dalam menghadapi bencana seperti banjir yang berlaku setiap tahun.

"Kita ingin sedarkan orang ramai tentang bencana, dan dalam masa sama, kita perkenalkan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana.

"Kita akan mengecapi satu kejayaan besar apabila rakyat mampu untuk berpindah sebelum banjir berlaku," katanya pada satu sidang media di Bangunan Utama Parlimen hari ini.

Menurutnya, Bulan Kesiapsiagaan Negara itu akan dilancarkan di Sarawak pada 1 Oktober depan, selaras dengan ketetapan diputuskan mesyuarat pengurusan bencana peringkat negara hari ini.

"Pada 1 Oktober ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah genap dua tahun ditubuhkan," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan Bencana Negara dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengakui kebanyakan mangsa banjir enggan untuk berpindah kerana bimbang kemungkinan berlaku kecurian harta benda.

"Jadi, (amaran awal) itu penting kerana kadang-kadang, masalah di peringkat bawah ialah, orang takut ada kecurian di rumah yang mereka tinggalkan.

"Jadi, kita nak pastikan tempat mereka dikawal kalau mereka pindah," kata Shahidan lagi.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara hari ini turut membentangkan mengenai Insurans Perlindungan Bencana melalui Skim Insurans Kampungku Allianz yang dilaksanakan di Kemaman sejak 2014.

Di bawah skim itu, jumlah caruman polisi adalah sebanyak RM75 setahun dan bayaran pampasan akan dibuat dalam tempoh 72 jam.

Mesyuarat turut mengambil maklum mengenai status wabak rabies seluruh negara serta mempertimbangkan cadangan untuk mengukuhkan langkah kawalan bagi mengelakkan penularannya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com