Nenek Usia 70 Tahun Jadi Bintang YouTube Di Korea


SEOUL – Lazimnya dunia ‘vlog’ atau diari harian dalam bentuk rakaman video, amat popular dalam kalangan orang muda untuk berkongsi mengenai jurnal catatan kehidupan unik.

Namun seorang wanita yang berusia 70 tahun di Korea Selatan, berjaya menarik perhatian ramai netizen tempatan untuk menonton rakaman beliau menerusi laman perkongsian video popular YouTube.

Park Mak-rye malahan boleh digelar sebagai ‘nenek YouTube’ kerana kemunculan beliau dalam media sosial seolah-olah menyuntik kesegaran bagi warga siber.

Video beliau yang lucu, merakam kehidupan sehari-hari sebagai warga tua yang bergaya dengan fesyen terkini, selain berkongsi bermacam-macam perkara termasuk tips solekan sehinggalah pengalaman beliau melancong.

Perbuatan selambanya suka merakam video-video tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan risiko demensia atau nyanyuk, lapor laman antarabangsa Daily Mail.

Mak-rye, yang mengendalikan sebuah restoran miliknya sendiri di Yongin, selatan Seoul, berkata kehidupan beliau banyak berubah sejak mula berjinak-jinak dengan YouTube.

“Sebelum ini saya pernah berfikir yang memandangkan usia sudah cecah 70 tahun, kehidupan sudah berakhir. Tetapi apabila saya mula melakukan ini , saya sedar kehidupan sebenarnya bermula pada usia 71 tahun!” ceritanya.


Idea untuk menubuhkan saluran YouTube beliau sendiri tercetus apabila cucu perempuannya, Kim Yura, 27, mengajak melancong ke Australia, setelah mendapat tahu neneknya itu berisiko tinggi mengalami demensia.

Satu rakaman video yang dimuat naik mengenai percutian pasangan nenek dan cucu itu di Cairns pada Januari lalu menceritakan pengalaman pertama Mak-rye menyelam dalam laut – dengan pantas menarik minat warga Korea.

Didorong populariti video pertama itu, Yura menggalak neneknya supaya terus merakam video-video, dengan harapan ia dapat menjadi salah satu cara mengurangkan risiko demensia, lapor Daily Mail.

Enam bulan kemudian, Mak-rye dipanggil untuk menghiasi muka depan sebuah majalah wanita dan mengacarakan rancangan beli-belahnya sendiri serta muncul dalam satu iklan produk terkenal jenama Samsung.

Menggunakan nama online ‘Korea Grandma’, Mak-rye malah mempunyai ramai pengikut, hampir 300,000 menerusi saluran YouTube beliau dan lebih 100,000 melalui laman Instagram beliau, lapor Daily Mail.

Para pengikut beliau begitu meminatinya hingga sanggup berjalan jauh semata-mata untuk makan di restoran milik Mak-rye, yang terletak di bahagian pedalaman Yongin yang tiada pengangkutan awam memasuki kawasan itu.

Menjelaskan minatnya kepada ‘Korea Grandma’, salah seorang pengikut Mak-rye, Lee Injae yang berusia 31 tahun berkata: “Beliau jujur. Tidak palsu. Ia begitu menyegarkan untuk melihat dunia dari pandangan seorang nenek.”

Menurut cucu Cik Park, Yura: “Saya mendapat tahu nenek juga seperti kita semua. Beliau suka melancong, makan makanan yang enak dan bergambar. Saya juga peminat beliau. Nenek seorang ‘cool’.”

Sekalipun begitu, kehidupan Mak-rye semasa membesar jauh berbeza. Bapa beliau enggan menghantar beliau ke sekolah kerana beliau perempuan. Sebaliknya, beliau dipaksa membuat kerja rumah.

Ini seperti memotong kayu api di kawasan pergunungan dan berjalan jauh untuk bawa pulang. Seorang jiran pernah ajar Mak-rye membaca dan menulis, namun beliau masih tidak tahu bagaimana untuk eja perkataan tertentu.

“Ibu bapa saya tidak mengajar saya meskipun mereka tidak miskin kerana mereka mahu saya bekerja,” jelas beliau, sambil menambah “Apabila saya menggunakan YouTube sekarang, saya berasa sedih.

“Ini kerana saya tidak diberi Pendidikan.” Mak-rye kemudian berdepan dengan cabaran-cabaran lain dalam hidup, apabila suami beliau meninggalkannya bersama tiga orang anak yang masih kecil setelah dibelenggu hutang.

Namun beliau mula membuka sebuah restoran sendiri di samping membesarkan anak-anak dan berjaya melangsaikan hutang-piutang yang ada, lapor Daily Mail.

Ketiga-tiga anaknya juga berjaya menamatkan pengajian di sekolah tinggi dan cucu beliau, Yura, adalah yang pertama dari keluarga itu untuk menyambung pengajian ke kolej.

Meskipun sudah cukup popular menerusi YouTube, Mak-rye berkata beliau tidak akan berhenti mengendalikan restorannya itu “sehingga ke akhir hayat”. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com