Nelayan Hilang: Topi Mangsa Ditemui Dekat Kawasan Pukat


MARANG - Penemuan topi berwarna biru berhampiran kawasan pukat dipasang menguatkan kemungkinan nelayan, Zakaria Omar terjatuh ke dalam laut.

Penduduk, Ramli Muda, 52, yang melancarkan gerakan mencari nelayan terbabit menemui topi yang dipakai mangsa, kira-kira jam 7.15 malam kelmarin.

Dia yang juga rakan mangsa berkata, topi yang ditemui itu terapung berhampiran pukat yang ditahan mangsa dan penemuan itu menguatkan bukti mangsa terjatuh ke dalam laut.

“Dia sentiasa memakai topi itu setiap kali turun ke laut dan tadi ketika bertemu di laut topi inilah yang dipakainya.

“Saya percaya dia terjatuh ke dalam laut ketika sedang menarik pukatnya,” katanya ketika ditemui di pengakalan nelayan Kampung Jambu Bongkok, semalam.

Zakaria, 58, yang keluar menahan pukat di laut, kira-kira jam 6 pagi namun tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.

Isterinya, Farimah Ibrahim, 50, kemudian pergi ke pangkalan nelayan mencarinya sebelum memaklumkan kepada nelayan lain yang bertindak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, bot gentian kaca yang dinaiki mangsa itu ditemui tersadai di tepi pantai dekat Kampung Rantau Abang, kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasan Embong berkata, sebanyak 27 bot digunakan untuk mencari mangsa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 bot milik nelayan tempatan dan selebihnya, tiga bot milik bomba serta masing-masing satu milik Maritim Malaysia, APM (Agensi Pertahanan Awam Malaysia) dan polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, operasi yang disambung pagi semalam disertai seramai 148 anggota dari pelbagai jabatan termasuk penduduk kampung.

“Operasi pencarian di laut dilakukan dalam jarak tiga kilometer ke kawasan barat dan timur dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) juga membuat pencarian di pesisir pantai sehingga ke Kuala Abang,” katanya.

Misteri kehilangan Ramli selepas tidak sampai dua minggu tiga nelayan hilang di Kuala Dungun apabila bot dinaiki mereka karam dipukul ombak.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com