Nasihat Nidzam Kepada Pemain Muda Kedah


LIMA pemain Kedah disaran menggunakan peluang yang ada untuk membuktikan kemampuan mereka serta menimba pengalaman berharga.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof, pengalaman yang bakal ditempuh Ifwat Akmal Che Kassim, Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Mohd Isa, Muhd Akhyar Abdul Rashid dan Syafiq Ahmad ketika mewakili skuad Sukan SEA di negara ini adalah sesuatu yang berharga.

Jelasnya, berikutan itu juga, Mohd Nidzam mahu semua pemain skuad hijau kuning itu untuk berusaha sebaik mungkin dan memastikan pingat emas menjadi milik negara.

"Sebelum ini, Baddrol Bakhtiar sebagai ketua pasukan ketika beraksi di Indonesia berjaya membawa pulang pingat emas dan untuk kali ini lima pemain muda Kedah berpeluang mengulangi kejayaan dan mencatat sejarah.

"Mereka perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin kerana beraksi di gelanggang sendiri.

"Muhd Akhyar mungkin boleh beraksi untuk kali kedua selepas ini kerana dia baru berusia 18 tahun tetapi yang lain mungkin akan jadi peluang terakhir mereka.

"Mewakili skuad Sukan SEA bukan sahaja untuk meraih pingat tetapi paling berharga ialah menimba sebanyak mana pengalaman dan lebih matang untuk mewakili negara dan pasukan masing-masing selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam turut yakin kelima-lima pemain muda Kedah dapat membantu skuad kebangsaan untuk meraih kejayaan berdasarkan prestasi, kematangan dan semangat mereka untuk menang apabila berada di atas padang.

Sementara itu, mengenai perkembangan skuad hijau kuning, Mohd Nidzam berkata, barisan pemain Kedah yang tidak terlibat dengan skuad kebangsaan akan kembali menjalani latihan pada 15 Ogos.

"Kita kehilangan 12 pemain kerana dilepaskan untuk mewakili negara. Tetapi persediaan untuk perlawanan seterusnya pada September ini akan diteruskan seperti biasa.

"Ini kerana kita mempunyai baki perjuangan yang perlu diselesaikan dalam saingan Piala Malaysia," ujarnya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com