Nama Gua Kerbau Di Kodiang Kembali Jadi Sebutan


ALOR SETAR - Keistimewaan dan kecantikan Gua Kerbau yang sebelum ini dilupakan kembali menjadi bualan apabila Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) bijak mempromosikannya dengan menganjurkan Gua Kerbau Trail Run 2017 di Kodiang, Kedah, semalam.

Acara larian tersebut menarik minat  500 peserta dari seluruh negara disamping mahu melihat sendiri keunikan Gua Kerbau sebagai salah satu tempat pelancongan menarik di kawasan Kubang Pasu.

Larian sejauh 12 kilometer tersebut turut disajikan dengan permandangan sawah padi, gua berusia lebih 200 tahun dan kawasan perkampungan.

Ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, turut memuji usaha MDKP mempopularkan gua tersebut.

"Secara langsung melalui aktiviti sebegini, Gua Kerbau satu ketika antara tarikan utama di kawasan Jerlun ini yang turut mendapat suntikan peruntukan oleh kerajaan melalui Kementerian Pelancongan sebanyak RM600,000 pada 2006 akan terus mendapat perhatian.

"Perancangan seterusnya untuk Gua Kerbau ini adalah menambah keselesaan semua pengunjung daripada segi akses dari jalan utama yang lebih dekat, meluaskan kawasan parkir kenderaan dan juga menambahkan lagi jarak trek larian daripada 12 kilometer yang sedia ada."

"Kini pihak MDKP dan agensi kerajaan terutama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersama menjalinkan usaha untuk meningkatkan nama Gua Kerbau di mata pelancong dan seterusnya menjadikan ia 'Ikon' daerah Jerlun," katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan larian itu.

Daripada jumlah itu, 150 peserta menyertai acara 'Fun Run' dan 350 lagi untuk kategori Remaja (lelaki dan perempuan) 13 tahun hingga 17 tahun, Terbuka Lelaki dan Wanita 18 tahun hingga 39 tahun serta Kategori Lelaki Senior (39 tahun ke atas).

Pemenang utama bagi kategori Lelaki Senior (40 Tahun keatas) yang menawarkan hadiah utama bernilai RM500 menjadi milik  Rosli Naina Mohamed.

Manakal bagi kategori Lelaki dan Wanita Terbuka (18-39 tahun) pula dimenangi oleh Ku Alif Aiman Zainol dan Tan Bee Ping dengan masing-masing membawa pulang RM500 sebagai hadiah utama.

Untuk kategori Lelaki dan Perempuan 'Junior' diungguli Khairul Amirin Kamarudin dan Nur Syazwani Abdul Rashid, masing masing menerima wang tunai RM300.

Majlis yang dianjurkan oleh Unit Pelancongan Daerah Kubang Pasu itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com