Muslim Care Bantu Penduduk Sudan Pada Aidiladha Ini


IPOH - Beberapa perkampungan di bandar Khartoum, Sudan yang majoriti penduduknya beragama Islam kini dihimpit kesengsaraan akibat kemiskinan melampau sehingga mengakibatkan kekurangan makanan serta keperluan.

Bertitik tolak atas dasar kemanusiaan, Pertubuhan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) memulakan misi membantu penduduk itu dengan ibadah korban diadakan di negara itu pada Aidiladha ini.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, Muslim Care sudah mengenal pasti beberapa perkampungan untuk mengadakan ibadah korban kali ini.

“Masalah asas melanda penduduk di Khartoum membabitkan kemiskinan melampau. Mereka ini kurang segala-galanya iaitu dari segi rumah, makanan asas, kesihatan dan juga kemudahan ibadah.

“Muslim Care membuka ruang baru untuk Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan ke negara itu pada Aidiladha ini sebagai permulaan kepada aktiviti kemanusiaan.

“Bantuan awal disalurkan untuk membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah serta madrasah,” katanya.

Zulkifli berkata, misi ibadah korban kali ini membabitkan penyertaan daripada seluruh rakyat negara ini yang menghulurkan sumbangan serta kerjasama Badan Kebajikan Islam Petronas Kuala Lumpur (BAKIP) dan Surau Muhsin Menara Berkembar Petronas.

Katanya, misi permulaan mengenal pasti bantuan mengikut kemampuan Muslim Care dan ia titik permulaan bantuan kepada negara itu.

Menurutnya, orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank melalui nombor akaun 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 1401000765471.

Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Johari Ismail di talian 016-9978323 bagi mendapatkan maklumat misi itu, selain melayari laman Facebook Muslim Care Malaysia Society.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com