Mus May Terkejut Koma Sembilan Hari


PENYANYI kumpulan MAY, Mus mengakui terperanjat apabila dimaklumkan dia koma selama sembilan hari sebelum sedar sepenuhnya pada 11 Julai lalu.

Mus, 49, yang masih menerima rawatan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur menyangka dia hanya koma dalam tempoh sehari atau dua hari tetapi terkejut apabila isterinya, Suraya Bahari memaklumkan perkara sebenar.

"Saya sukar mengingati apa yang berlaku dan tidak semua soalan yang diajukan kepada saya buat masa ini boleh dijawab. Saya tak dapat mengingati semuanya.

Punca kejadian itu pun saya tak ingat. Apa yang diceritakan oleh isteri kepada pihak media, saya akui kebenarannya kerana saya tak mampu nak menjelaskannya," katanya kepada Harian Metro.

Mus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4 Julai lalu akibat demam panas berpanjangan sebelum koma.

Dia kemudian dipindahkan ke ICU Hospital Ampang keesokannya.

Ditanya perkara pertama yang dilakukannya sebaik membuka mata, Mus berkata, dia hanya mengenali isteri yang berada di sisinya.

"Ketika itu saya masih dalam keadaan pening tapi sangkakan tiada yang kritikal dan badan pula lemah. Saya terdiam apabila Suraya memberitahu perkara sebenar.

"Saya boleh terima kenyataan yang saya sedang sakit dan perlukan rawatan. Apa yang perlu ialah saya kena ikut nasihat doktor dan perlu makan ubat," katanya.

Sepanjang tempoh rawatan, doktor turut melakukan ujian imbasan otak dan Magnetic Resonance Imaging (MRI) bagi mengenal pasti punca penyakitnya.

Mereka turut melakukan proses pertukaran plasma bagi menggantikan darah yang dijangkiti kuman.

"Saya disahkan menghidap penyakit berkaitan darah tapi doktor masih belum tahu punca sebenarnya. Keputusannya dijangka diketahui Isnin ini.

"Saya mungkin dibenarkan keluar hari ini dan perlu menjalani rawatan susulan pada Isnin," katanya.

Mus mengakui dirinya mudah dijangkiti penyakit dan kadang-kadang sebulan sekali akan menghidap demam menyebabkannya bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan.

"Mungkin apa yang berlaku kerana faktor umur, pemakanan dan bekerja tanpa rehat secukupnya. Kalau di studio, saya buat kerja dari siang hingga awal pagi esoknya.

"Saya berjanji akan menjaga jadual aktiviti selepas ini. Buat masa ini saya menolak sebarang tawaran menyanyi kerana keadaan badan masih lemah. Bagaimanapun saya akan kembali menyanyi sebaik sembuh sepenuhnya kerana ini karier saya," katanya yang berterima kasih kepada rakan-rakan artis dan peminat yang memberikan semangat serta mendoakan kesihatannya kembali pulih.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com