"Mukhriz Tiada Kuasa Bubar Dun Kedah"


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, namun hanya berkuasa untuk menasihati Sultan Kedah untuk berbuat demikian.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman yang juga pengamal undang-undang, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kuasa membubarkan Dun Kedah adalah terletak pada kuasa budi bicara Sultan Kedah.

"Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menyatakan sedemikian kuasa mutlak pembubaran Dun terletak pada kuasa budi bicara Sultan Kedah. Menteri Besar tiada kuasa tersebut.

"Menteri Besar hanya berkuasa untuk memberi nasihat sahaja kepada baginda. Sultan Kedah tidak bertindak atas nasihat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam perkara pembubaran Dun.

"Jadi, keputusan membubarkan Dun atau sebaliknya adalah merupakan budi bicara Sultan Kedah atau ketika itu Jemaah Pemangku Sultan Kedah," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui di sini, hari ini.


Syed Mohd Johan Rizal diminta mengulas mengenai kenyataan Mukhriz yang mendakwa beliau boleh membubarkan Dun Kedah ketika insiden krisis kepimpinan Kerajaan Negeri, kira-kira dua tahun lalu.

Peguam itu turut menjelaskan bahawa kes berkenaan boleh dirujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan pertikaian antara Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berhubung Dun Perak sebelum ini.

"Boleh rujuk pada kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin vs Datuk Seri Zambry di Perak, kesnya serupa," jelas beliau.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang itu berkata, apa yang berlaku di Kedah sebelum ini adalah peralihan kuasa yang membabitikan undi tidak percaya yang dilakukan berdasarkan surat akuan bersumpah melalui Siasatan DiRaja.

Katanya, ekoran Mukhriz tewas dalam undian tidak percaya terhadapnya dalam siasatan tersebut, maka Jemaah Pemangku Sultan Kedah mendapati beliau perlu melepaskan jawatan Menteri Besar dan tidak timbul soal membubarkan Dun.

"Apa yang berlaku adalah undi  tidak percaya. Undi tidak percaya itu dibuat melalui Siasatan DiRaja, menerusi surat akuan. Itulah yang menyebabkan dia terpaksa meletak jawatan. Tidak timbul soal bubar Dun pun," tegasnya mengimbas apa yang berlaku.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal turut berpadangan bahawa kenyataan Mukhriz tersebut hanyalah sekadar kenyataan menyembunyikan dan memesongkan fahaman rakyat mengenai undang undang sedia ada dan juga bermotif politik yang cuba bermain emosi rakyat dengan menyegarkan kembali simpati terhadapnya selepas kehilangan jawatan Menteri Besar.

"Pada pandangan saya, kenyataan Mukhriz ini hanyalah permainan retorik politik. Dia cuba bermain sentimen emosi rakyat dan ahli UMNO dengan membayangkan diri beliau 'konon' adalah 'mangsa' percaturan politik, itu saja," katanya.

Mukhriz sebelum ini mendakwa tidak membubarkan Dun Kedah kerana sayangkan UMNO dan BN, namun tidak menjelaskan tentang siasatan DiRaja yang melibatkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang memutuskan Dun Kedah hilang kepercayaan terhadapnya dan beliau perlu meletak jawatan Menteri Besar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com