MIC Buka Cawangan Baru, Bantu BN Perlis Hadapi PRU14

KANGAR -  MIC Perlis akan membuka beberapa cawangan lagi menjelang akhir tahun ini sebagai usaha untuk menarik masyarakat India di negeri ini menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Pengerusinya, S. Vengadasamy berkata lima cawangan baharu di bahagian Arau akan ditubuhkan dalam masa terdekat, diikuti beberapa cawangan dalam bahagian Kangar dan Padang Besar.

"Perkembangan terkini mendapati sokongan masyarakat India terhadap BN bertambah mantap dan saya yakin lebih 2,100 pengundi MIC akan memilih BN pada PRU14 nanti, " katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Vengadasamy yang juga Pegawai Pembangunan Komuniti di Pejabat Menteri Besar bagi menjaga kepentingan masyarakat India berkata kaum itu di negeri ini merasa sangat terhutang budi kepada kerajaan BN kerana tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka termasuk ketika ditimpa bencana.

Menurutnya MIC juga merasa tiada keperluan untuk menambah bilangan kuil sebanyak tujuh buah dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil pada masa ini yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat India.

Sementara itu, beliau berkata persidangan perwakilan MIC bahagian Arau, Padang Besar dan Kangar yang dijadualkan pada 13, 21 dan 27 Ogos ini akan dirasmikan oleh pemimpin tertinggi MIC.

-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com