MCA Perak Perkemas Strategi Rampas Kembali Kerusi DAP


IPOH - MCA Perak sedang memperkemas strategi dan gerak kerja bagi memantapkan parti itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa, kata Pengerusinya Datuk Dr Mah Hang Soon.

Katanya MCA Perak juga telah mengemukakan senarai calon berpotensi kepada Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun senarai itu perlu melalui pelbagai proses dan tapisan sebelum senarai akhir diumumkan presiden parti, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu Dr Mah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak merasmikan Bengkel Pemantapan Pedagogi Kesusasteraan Kanak-kanak Bahasa Cina.

Dalam pada itu, Dr Mah berterima kasih kepada Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas yang bersedia menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Teluk Intan kepada MCA pada PRU-14.

"Kita akan bekerja keras dan mempunyai strategi tersendiri untuk merampas kerusi DUN Pasir Bedamar yang selama ini dikuasai oleh parti DAP sejak sekian lama.

"Walaupun sebelum ini kerusi itu bukan milik MCA, namun MCA Bahagian Teluk Intan sentiasa turun padang dan bergerak aktif di kawasan tersebut. Hasil maklumat yang diperolehi kita menerima sokongan dan galakan yang cukup baik daripada penduduk dan pemimpin NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di kawasan tersebut," katanya.

Ahad lepas, Kayveas berkata pihaknya bersedia menukar dua kerusi tradisi MyPPP iaitu Parlimen Kepong di Selangor dan DUN Pasir Bedamar, masing-masing dengan Gerakan dan MCA, pada PRU-14 atas semangat kerjasama dan perpaduan.


- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com