MB Beri Cuti Rehat, Namun Aminuddin Mahu Hadir Sidang Dun Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memberi cuti rehat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar.

Ini ekoran daripada Exco Kedah tersebut baru sahaja kehilangan anak sulungnya akibat kemalangan jalan raya semalam.

Anaknya, Muhammad Irfan Aminuddin, 20, dan rakannya Wan Qhuzairie Wan Cik, 27, meninggal dunia setelah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) dinaiki mangsa terbabas lalu terlanggar pokok di KM12.7 lebuh raya PLUS, Changlun.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4 Petang semalam berdekatan dengan Kampung Bendang Perang.

Ahmad Bashah yang baru sahaja pulang dari Pahang segera menziarahi Pengerusi Jawatankuasa Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri itu dan meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menyampaikan ucapan takziah.

"Saya harap keluarga Aminuddin bersabar dengan pemergian anak sulungnya.

"Semalam saya ada kursus di Janda Baik, Pahang. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini petang semalam, pagi ini saya bertolak balik dan terus menziarahi keluarganya.

"Alhamdulillah, urusan pengebumian selesai jam 11.30 malam tadi ," katanya.

Walaupun Menteri Besar memberi cuti kepada Aminuddin, namun beliau tetap mahu menghadiri Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Dalam kesempatan itu, Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak hospital serta orang ramai kerana membantu meringankan tanggungjawab mengebumikan anaknya di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah, malam tadi.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam proses pengebumian anak saya. Insya-Allah, saya akan hadir ke Sidang DUN esok," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com