Masalah Disiplin, S.Komalam Digugurkan Dari Sukan SEA KL 2017


KUALA LUMPUR - Atlet kuartet  4x100 meter wanita negara, S. Komalam Shally digugurkan daripada terlibat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana masalah disiplin.

Bagaimanapun Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata isu itu tidak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk memungut pingat pada acara tersebut.

Beliau percaya pengguguran Komalam dibuat mengikut saluran betul dengan sebab yang munasabah seperti yang dimaklumkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Saya telah terima jawapan yang munasabah dan saya berpuas hati dengan jawapan tersebut. Biarlah ia dibincang di peringkat Majlis Olimpik Malaysia dan saya difahamkan perkara ini telahpun dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia.

"Biarlah mereka sama ada da mereka hendak buat keputusan untuk memaklumkan atau tidak .Saya serahkan kepada Majlis Olimpik sebab Jawatankuasa Teknikal yang mengurus pemilihan atlet adalah dibawah Majlis Olimpik Malaysia," katanya pada majlis pelancaran lagu tema Sukan SEA 2017 yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di ibu negara semalam.

Pengurus pasukan olahraga negara ke Sukan Sea, Datuk Salim Parlan  mengesahkan Komalam digugurkan daripada kuartet 4x100m wanita kerana masalah disiplin apabila didakwa cuba mengganggu keharmonian dalam pasukan.

Komalam adalah atlet yang membarisi kuartet negara ketika memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu pada saingan Kejohanan Balapan Dan Padang Asia di India, bulan lalu.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com