Marina Tunggu Laporan Atlet Langgar 'Waktu Berkurung'


PUTRAJAYA - Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Datuk Marina Chin masih menunggu laporan rasmi berhubung tindakan dua atlet yang didakwa melanggar perintah 'waktu berkurung' di hotel penginapan, malam kelmarin.

Marina berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut isu itu kerana belum menerima laporan daripada persatuan sukan kebangsaan atlet terbabit.

"Saya tidak boleh komen kerana masih belum terima laporan rasmi dan belum dapat berjumpa Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo kerana sibuk dengan pelbagai program di tempat lain.

"Bagaimanapun, saya memang ada dengar tetapi belum dapat laporan rasmi. Jadi adalah tidak adil untuk saya mengulas lanjut mengenai kes dua atlet terbabit," katanya selepas meninjau gelanggang acara renang terbuka, triathlon dan luncur air di Kompleks Sukan Air Putrajaya, di sini semalam.

Ketika ini seramai 700 atlet mula melaporkan diri di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara sepanjang temasya dwitahunan itu.

Mengikut peraturan, semua atlet perlu mematuhi waktu berkurung dengan mereka tidak dibenarkan keluar dari hotel penginapan selepas jam 11.30 malam.

Marina bagaimanapun memberi amaran keras kepada semua atlet supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan disiplin termasuk digugurkan daripada beraksi.

"Biasanya kita hanya akan bagi amaran bagi kesalahan pertama tetapi jika mereka terus ulangi kesilapan sama, maka tindakan disiplin patut diambil.

"Segala tindakan disiplin bergantung kepada persatuan kerana mereka akan cadangkan bentuk hukuman yang diambil terhadap atlet terbabit kepada pihak pengurusan kontinjen, sebelum keputusan muktamad dibuat," katanya.

Sumber: BH Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com