Lokasi Tak Sesuai, Projek Gula Sabah Dibatalkan


KOTA KINABALU - Kerajaan mengambil keputusan membatalkan projek Gula Sabah di kawasan seluas kira-kira 3,200 hektar di Kuala Penyu selepas mendapati tapak projek itu kurang sesuai untuk penanaman tebu, selain tidak cukup luas dari segi pulangan ekonomi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan akan memikirkan projek lain yang lebih sesuai dilaksanakan di tapak berkenaan, selain menggalakkan pembangunan pelancongan di daerah itu.

"Tempat itu tidak sesuai, kilang gula ini bukan senang, cuaca, tanah semua perlu diambil kira...saya percaya projek ini tidak diteruskan memandangkan ia tidak sesuai. Cakap senang, tetapi untuk melaksanakannya, bukan mudah...kosnya mahal.

"Gula (tebu) pula memerlukan cuaca yang panas, tidak banyak hujan, tetapi lokasi ini selalu dilanda banjir, tanah gambut. Lagipun untuk membina kilang saja sekurang-kurangnya 10,000 ekar (4,000 hektar) diperlukan sedangkan luas tapak kurang daripada itu," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lajim Ukin (Harapan Rakyat-Klias) berhubung perkembangan terkini tapak projek berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Lajim dalam maklum balasnya, berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek itu ketika ia dilaksanakan pada awal 1990-an kerana keluasannya tidak mencukupi untuk projek ladang tebu berskala besar.

"Saya ada tanya projek ladang tebu di Chuping, Perlis, dia kata 3,200 hektar tidak cukup, sekurang-kurangnya 12,000 hektar baru sesuai," katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata jika ada perbincangan dengan pelabur berhubung projek yang mahu dilaksanakan di Kuala Penyu, ia perlu mengambil kira perkara yang sesuai dengan daerah itu, khususnya pelancongan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com