Lepas Penyokong Mahathir, Rafizi Pula "Perlekeh" Pemimpin PAS


PEMIMPIN PAS yang hadir pada sidang meja bulat untuk mendengar taklimat Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy semalam diperlecehkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya tidak pasti sama ada pimpinan PAS yang hadir dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu," kata Rafizi.

Antara yang hadir mendengar taklimat itu ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk TakiyuddinHassan, Naib Presiden Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Nasrudin Hasan.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga hadir pada persidangan meja bulat dengan pihak pengurusan 1MDB termasuk Arul Kanda.

"Saya membaca beberapa kali laporan mengenai taklimat 1MDB oleh Arul Kanda kepada pimpinan tertinggi PAS. Saya juga menonton rakaman sidang media untuk memastikan saya tidak tersalah dengar,"kata Rafizi dalam satu kenyataan pada semalam.

Rafizi bagaimanapun "mempelecehkan" kenyataan pemimpin PAS itu kerana mereka terus berpuas hati dengan usaha yang diambil bagi mengurangkan hutang 1MDB.

Rafizi yang sedang berdepan berbagai saman fitnah mendakwa pelan rasionalisasi 1MDB adalah "tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindah milik kepada kerajaan..."

Bagaimanapun Rafizi ternyata  kecewa dengan kenyataan Tuan Ibrahim dan pendirian pimpinan PAS itu kerana bimbang ia akan dijadikan modal oleh UMNO/BN untuk mempertahankan syarikat pelaburan negara  itu.

Sementara itu  Rafizi  turut 'mengajar' pemimpin PAS agar menggunakan kesempatan (pertemuan) itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan parlimen. Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan "menasihatkan" pimpinan PAS supaya tidak terperangkap dengan "permainan propaganda UMNO".

Pada sidang media kelmarin, Tuan Ibrahim menyatakan puas hati dengan pelbagai penjelasan Arul Kanda khususnya mengenai pelan rasionalisasi 1MDB dan beliau yakin usaha yang diambil untuk memulihkan syarikat pelaburan kerajaan itu.

Syarikat pelaburan negara itu telah dipolitikkan secara melampau oleh pembangkang termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak dua lalu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, DatukSeri Najib Razak sedangkan PAS pula mengambil pendekatan yang agak berbeza.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mahu segala skandal dan kemelut dalam negara diselesaikan secara dalaman dan bukannya menjemput pihak asing untuk menyelesaikannya. - Kedahnews.com








No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com