Lebih 10 Aduan Salahguna Media Sosial Setiap Bulan Di Kedah


ALOR SETAR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kedah mendedahkan bahawa Kedah mencatatkan sekurang-kurangnya 10 aduan setiap bulan bagi kesalahan salahguna internet terutama sekali laman media sosial.

Namun begitu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata angka tersebut masih berada di paras bawah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Aduan ini banyak melibatkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp yang mana pada bulan lepas seorang individu dari Kedah telah ditahan selepas membuat penghinaan terhadap pemimpin negara di laman sosialnya dan kini dalam proses pendakwaan.

"Walaupun jumlah aduan masih sedikit, saya jangka jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa kerana apabila jumlah penggunaan Internet bertambah, jumlah yang melakukan kesalahan juga dijangka akan meningkat dan sehingga kini Kedah mencatatkan jumlah kadar penembusan Internet sebanyak 73 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian  selepas merasmikan Program #Negaraku: Seminar Media Sosial Peringkat Negeri Kedah di sini, semalam.

Bagi mengekang perkara tersebut daripada berleluasa, pihak suruhanjaya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan media sosial dan penyalahgunaan Internet agar jenayah siber tersebut dapat dikawal.

Ini kerana Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bukanlah satu-satunya undang-undang yang terpakai dalam menangani penyalahgunaan media sosial dan Internet kerana ia turut melibatkan undang-undang lain antaranya Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957," katanya.

Selain itu, Mohd Tajuddin turut menasihat rakyat agar tidak mengamalkan tindakan  'Copy & Paste' sekiranya tidak pasti tentang kebenaran sesuatu perkara yang ditularkan.

Ini kerana ia mampu memberi kesan negatif dan boleh mendatangkan bahaya kepada individu atau negara.

"Jika berita yang ditularkan itu membawa kebaikan, tidak salah untuk berkongsi tetapi kalau tidak benar dan terus ditularkan, ia boleh mengundang bahaya terutama sekiranya ia melibatkan negara.

"Untuk menangkis berita palsu yang disebar luas terutamanya di media sosial, pihak SKMM telah mengambil beberapa inisiatif termasuk mewujudkan portal sebenarnya.my yang membolehkan masyarakat memeriksa dahulu kesahihan sesuatu berita yang ditularkan," katanya.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com