Kongsi Memori Kibar Bendera Malaya Pada 31 Ogos 1957


Walaupun sudah lama berlalu, detik bersejarah negara 31 Ogos 1957 sentiasa segar dalam ingatan bekas Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamed Sharif Kalam, 80.

Dia masih dapat menggambarkan satu persatu detik sambutan kemerdekaan itu. Bersama dua rakannya, Awang Mohd Salleh dan Oliver Culvelt Samuel, mereka diberi kepercayaan menaikkan bendera Tanah Melayu pada hari kemerdekaan buat kali pertama ketika itu.

“Kami dapat berita (ditugaskan menaikkan bendera) tiga atau empat hari sebelum hari bersejarah itu. Apabila dah tahu kami dipilih untuk menaikkan bendera negara pada masa itu, kami buat latihan di Jalan Gurney. Sekarang, Pulapol Jalan Semarak.

“Latihan untuk menentukan irama Negaraku dengan masanya dan menaikkan bendera. Masa itu orang belum nampak bendera Malaya. Kena buat malam. Jadi, orang lain tak nampak. Itu kali pertama nak naik.

“Jadi, tiga hari diperlukan supaya kami boleh ikut irama lagu itu dengan bendera apabila kami naikkan daripada mula lagu dibunyikan sampai kemuncak bendera mesti seiring. Lagu tamat, bendera pun sampai ke puncak,” katanya di rumahnya di Taman Pelangi, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurutnya, tugas itu menjadi satu kebanggaan dan kenangan manis buatnya kerana berpeluang menaikkan bendera negara buat kali pertama untuk tontonan awam walaupun dia tidak terfikir satu hari baktinya menjadi bahan sejarah.

“Waktu itu umur saya 20 tahun. Saya paling muda. Tempoh menaikkan bendera tiga hingga lima minit.

“Kami sudah biasa menaikkan bendera. Kata orang tu dah tahu macam mana cara menaikkan bendera. Jadi tak rasa berdebar sangat. Tetapi, kerana orang ramai, ada juga gerun tu.

“Jam 7 (pagi) kami sudah keluar bersiap sedia di dalam stadium. Waktu menaikkan bendera 9 pagi,” kata Mohamed Sharif.

Dia menjelaskan, bendera adalah satu simbolik, tanda dan wakil negara yang sangat dihormatinya.

“Dalam tentera kami hormat kepada bendera. Setiap pagi jam 8, kami menaikkan bendera,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai semangat patriotik katanya, dulu semua bangsa bersatu padu.

“Sebab itu hendak apa-apa pun senang. Tiada kacau-bilau melainkan ancaman komunis. Kalau ikut sejarah, orang Melayu agak unik, satu bangsa yang saya ingat banyak bertoleransi daripada kaum lain. Orang asing datang ke sini tak ada bawa apa-apa, datang sehelai sepinggang atau bawa beg pakaian. Kebanyakan tak bawa harta benda. Tapi, bila sampai ke sini, orang Melayu memberi kerjasama.

“Kalau kita tengok di kampung misalnya, orang Cina berniaga, dia ada satu kedai saja. Keliling dia, orang Melayu. Jadi, orang Melayu tak kisah. Tanah pun orang Melayu kasi (beri). Maknanya kerjasama orang Melayu kepada bangsa asing. Tak kira apa bangsa Cina ke India. Jadi, tak rasa tertekan ataupun rasa takut di Malaya ini.

“Peniaga di bandar kebanyakan orang Cina, pembeli adalah Melayu, jadi tak rasa apa-apa pun. Tiada hasad dengki. Negara macam satu bangsa,” katanya.

Dibandingkan dengan keadaan hari ini, katanya, dia mendapati semangat patriotik dan perpaduan semakin menipis dalam kalangan masyarakat apatah lagi timbul pelbagai parti politik.

“Apabila kita dah maju, orang banyak lupa. Pasal kita sudah mewah,” katanya.

Dia turut menyatakan, masalah perkauman hanya bermula sejak kedatangan komunis ke Tanah Melayu pada 1940-an.

“Di situ mulanya perkauman. Apabila komunis berasa ada pertolongan dari Tanah Besar China, mereka berasa kuat. Dari situ datang perkauman, nampak sikit-sikit.

“Jadi, kita sampai sekarang benda itu macam duri dalam daging. Ia terbawa-bawa. Dulu sebelum 1945 tak ada perkauman,” katanya.

Justeru, sebagai orang lama, dia berharap semua pihak memainkan peranan dalam mengukuhkan semangat patriotik dalam kalangan generasi baru.

Menurutnya, semangat patriotik bukan untuk satu bangsa saja, tetapi membabitkan semua bangsa.

“Apa juga perkara kita kena semai dari kecil, dari sekolah rendah dan menengah. Kita sebagai orang tua kena memberi contoh. Kita khususnya cikgu di sekolah mesti memberikan semangat dan kefahaman kepada murid,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com