KL2017: Skuad Hoki Tak Perlu Belas Kasihan


KUALA LUMPUR - Skuad hoki lelaki kebangsaan tidak perlu bersikap 'belas kasihan' meskipun bakal turun menentang pasukan yang berada di ranking jauh lebih rendah berbanding mereka pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Kapten pasukan, Sukri Mutalib, mereka perlu memberikan persembahan yang terbaik dan menggunakan kemampuan semaksimum mungkin meskipun itu bermakna perlu 'membelasah' pasukan lawan dengan jumlah jaringan besar pada aksi bermula 21 Ogos ini.

"Kita sentiasa perlu memberikan tentangan yang maksimum dan tidak perlu belas kasihan kepada pasukan lawan kerana jika tewas, itu akan membuatkan mereka berusaha lebih keras lagi.

"Pasukan lawan akan dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan yang diharungi kerana kami mahukan pasukan di Asia Tenggara dapat meningkatkan persembahan mereka.

"Dengan cara ini kita dapat bersama sama meningkatkan kualiti sukan hoki di rantau ini.

"Situasi sama turut berlaku kepada kami apabila bertemu pasukan lebih baik daripada Eropah dan Oceania. Mereka akan memberikan segala yang termampu dan walaupun kami tewas, ia memberi motivasi kepada kami untuk menjadi pasukan yang lebih baik," katanya pada sidang media program 'Kita Juara' di sini, Ahad.

Dalam masa sama, pemain pertahanan berusia 31 tahun itu mengakui teruja untuk membuat penampilan pertama pada temasya serantau dwitahunan itu sekali gus mengintai peluang untuk menambah koleksi kejuaraannya.

"Selepas hampir 13 tahun bersama skuad kebangsaan, ini kali pertama saya dipilih untuk menyertai Sukan SEA 2017. Jadi ini memberikan satu perasaan yang begitu berbeza kepada saya.

"Matlamat kita jelas iaitu kita mahu merangkul pingat emas bagi membantu memastikan negara dapat menjadi juara keseluruhan memandangkan edisi kali ini berlangsung di laman sendiri.

"Cuma saya mengharapkan rakan sepasukan tidak angkuh dengan status kita sebagai pasukan nombor satu di Asia Tenggara kerana jika itu yang berlaku, kita akan menghadapi masalah nanti. Jadi pemain perlu mengikut setiap arahan jurulatih dengan baik," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com