KL2017: Persiapan Berada Di Fasa Terakhir


KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia untuk menerima kunjungan ribuan atlet yang bakal beraksi pada temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan (KL2017) apabila persiapan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa itu kini berada di fasa terakhir.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata semua lokasi pertandingan sudah disiapkan dan kini sedang melalui proses kelengkapan peralatan serta perhiasan.

Katanya, kebanyakan tempat pertandingan kini sedang digunakan untuk latihan atlet negara bagi membolehkan mereka membiasakan diri dan membuat persiapan awal.

"Selain itu, aspek penting seperti keselamatan, penginapan, makanan, pengangkutan, kemudahan peralatan pertandingan, kawalan trafik, perubatan, protokol dan sambutan sedang diberikan perhatian.

"Dari segi keselamatan, jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Polis Negara sudah menyediakan pelbagai langkah untuk menangani sebarang ancaman.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah menubuhkan satu pasukan khas antikeganasan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah MKN," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasam (BN-Parit), yang bertanya mengenai tahap persiapan KL2017.

Khairy berkata, temasya Sukan SEA ke-29 ini bakal menyaksikan penyertaan seramai 1,264 ahli kontinjen negara menjadikan jumlah penyertaan terbesar sejak tahun 1959.

"Jawatankuasa pemilihan atlet temasya Sukan SEA yang ditubuhkan Majlis Olimpik Malaysia mengumumkan seramai 874 atlet darpada 38 jenis sukan serta 390 jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai kontinjen negara.

"KL2017 juga sudah mendapatkan perkhidmatan seramai 13,000 sukarelawan, masing-masing 9,000 orang untuk temasya Sukan SEA dan 4,000 orang untuk Sukan Para ASEAN," katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Mohd Zaim, Khairy berkata, KL2017 turut menerima penajaan berjumlah lebih RM100 juta daripada 41 syarikat swasta.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com