#KL2017: Insentif Istimewa Buat Atlet KPM – @MahdzirKhalid


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjanjikan ganjaran istimewa kepada 134 atlet murid dan lima atlet guru di bawah kementerian yang berjaya meraih pingat di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perbincangan sedang diadakan dengan Bahagian Sukan kementerian berhubung perkara berkenaan.

“Bahagian Sukan sedang menentukan apakah bentuk ganjaran yang paling sesuai untuk diberi sebagai insentif kepada para atlet.

“Yang pasti ada insentif buat mereka, cuma kaedah dan cara pemberian akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita pada majlis Semarak Kita Juara atlet KPM ke Sukan SEA di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Madhzir berkata kementerian amat berbangga dengan 134 atlet murid dan lima guru atlet yang memberi komitmen dalam acara masing-masing sehingga terpilih mewakili negara.

Katanya, KPM meletakkan harapan yang tinggi agar para atlet dapat membawa cabaran Malaysia pada temasya kali ini dengan penuh disiplin, daya juang dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Kita berharap kontinjen negara khususnya atlet yang berada di bawah panji KPM dapat memperbaiki kedudukan seiring dengan sasaran.

“Saya percaya atlet sentiasa melakukan yang terbaik agar Sukan SEA KL2017 milik kita dan bakal melahirkan atlet murid dan atlet guru yang berpotensi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Atlet murid yang di bawah KPM terdiri daripada 67 atlet dari Sekolah Sukan Malaysia, 47 dari sekolah harian, sekolah swasta (16), kolej vokasional (tiga) dan seorang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Antara atlet murid ialah pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei, Grace Wong (baling tukul besi), jaguh pecut Khairil Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap manakala atlet guru antaranya adalah kapten pasukan hoki Sukri Mutalib, Puah Pei San (bola jaring) dan Ahmad Faiz Noor (kriket). – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com