Kisah Sultan Johor Rasmi Pangkalan Berhampiran Pulau Batu Puteh


JOHOR BAHRU – Kisah ini sebenarnya dilaporkan oleh agensi berita rasmi Bernama pada 1 Ogos lalu, namun media tempatan kurang mewar-warkan isu itu sehingga ramai yang tidak tahu.

Lebih lucu dan mungkin misteri, berita ini hanya disiarkan media Singapura lima hari kemudian hingga cetus tanda tanya adakah republik itu gentar atau terkejut melihat pangkalan tersebut begitu canggih daripada dijangkakan.

Hakikatnya, kisah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merasmikan Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah yang cuma 0.6 batu nautika dari Pulau Batu Puteh memang mengejutkan negara jiran berkenaan.

Untuk rekod, Singapura menggelarkan Batuan Tengah sebagai Middle Rocks manakala Batu Puteh pula ialah Pedra Branca yang merupakan istilah bahasa Portugis sebagaimana dirujuk penjelajah Eropah itu sejak kurun ke-16.

Pangkalan baharu berdekatan Batu Puteh yang diserahkan kepada Singapura ekoran keputusan panel Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 itu, juga menarik minat netizen tempatan dan republik berkenaan sendiri.

Bayangkanlah kemudahan yang merangkumi jeti sepanjang 316 meter, rumah api dan tapak pendaratan helikopter, menurut majalah pertahanan antarabangsa terkenal Defence Weekly, jauh lebih hebat daripada Batu Puteh sendiri.


Bahkan kesediaan Sultan Johor hadir merasmikan pangkalan itu, yang selesai dibina pada 29 Ogos 2016 lalu dan mengandungi dua bangunan konkrit, membuktikan kesungguhan baginda sendiri dalam isu tuntutan Batu Puteh.

“Projek ini, di bawah Majlis Keselamatan Negara, bertujuan untuk melindungi kawasan kedaulatan dan perairan Malaysia serta bagi menjalankan kajian saintifik marin,” tulis Sultan Ibrahim dalam akaun Facebook rasmi baginda.

Pangkalan moden itu juga ujar Sultan Johor demi “menegaskan lagi kedaulatan penuh Malaysia ke atas Batuan Tengah” yang terletak hanya 7.9 batu nautika dari pesisir Kota Tinggi berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Baginda mendedahkan pangkalan itu digunakan secara bersama oleh pelbagai agensi antaranya Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.


Paling menarik, terdapat kemudahan wakaf dan jeti bagi kegunaan nelayan tempatan untuk singgah atau berlindung sementara jika cuaca buruk ekoran aduan sebelum ini mereka diusir tentera Singapura jika berada di Batu Puteh.

Catatan Sultan Ibrahim itu turut menerima reaksi positif netizen apabila mendapat hampir 5,000 tanda suka selain lebih 450 perkongsian dan kira-kira 141 komen yang memuji baginda dalam usaha tuntutan terhadap Batu Puteh.

Perasmian bersejarah pangkalan tersebut kebetulan diadakan lebih sebulan selepas Peguam Negara Malaysia memfailkan permohonan bagi meminta interpretasi di sebalik pertimbangan ICJ berhubung kedaulatan Batu Puteh.

Ini menurut Malaysia, adalah “berasingan dan secara autonomi” berbanding satu lagi permohonan pada Februari lalu bagi meminta semakan keputusan ICJ yang diputuskan pada 23 Mei 2008 lalu. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com