Khairy Akui Gemuruh Tunggu KL2017


KUALA LUMPUR - Lebih kurang dua minggu saja lagi menjelang berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkongsi rasa gemuruhnya dalam penganjuran temasya terbesar di Asia Tenggara itu.

"Perasaan saya teruja dan tidak sabar lagi. Perasaan gemuruh mestilah ada sebab kita akan anjurkan satu temasya yang amat besar," katanya selepas majlis pelancaran program Satu Pokok, Satu Pingat di Bandar Sukan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Khairy berkata, biarpun temasya ini hanya membabitkan negara peserta dari Asia Tenggara namun daripada bilangan jenis sukan yang dipertandingkan, ia adalah lebih banyak berbanding penganjuran Sukan Komanwel.

"Jadi daripada skala ia adalah sangat besar. Kita akan ada dalam 15,000 atlet, pegawai, jurulatih dan sebagainya yang akan datang dengan menjadikan cabaran logistik sangat besar," katanya.

Khairy berkata, selain daripada memikirkan mengenai prestasi atlet, dia bersama Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) perlu memikirkan persediaan lain termasuklah makanan, penginapan, hotel, pengangkutan, kesesakan jalan dan sebagainya.

"Saya harap semuanya berjalan dengan lancar selepas semua perancangan sudah dibuat dengan baik. Semalam kita adakan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola yang terakhir sebelum temasya bermula.

"Semuanya sudah diatur dan tinggal lagi kita harap pelaksanaan dapat dicerminkan dan menikuti perancangan kita dan selebihnya terserah kepada Tuhan," katanya.

Sukan SEA ke-29 akan dibuka secara rasminya pada 19 Ogos ini namun acara bola sepak dan bola jaring akan bermula awal apabila dipertandingkan mulai 14 Ogos ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com