Ketua Jurulatih Kedah Tuntut Pemain Tingkat Prestasi


ALOR SETAR - Ketua jurulatih pasukan Kedah, Nidzam Adzha Yusoff menuntut agar kesemua anak buahnya meningkatkan prestasi, kecegasan dan sentuhan agar lebih menyengat dalam perlawanan akan datang.

Meskipun skuad Lang Merah itu telah layak ke suku akhir Piala Malaysia, namun corak permainan yang ditunjukkan pada aksi menentang UiTM FC malam semalam kurang memberangsangkan.

"Saya berpuas hati dengan keputusan yang akhirnya membawa kita layak ke peringkat suku akhir tapi tidak dengan prestasi permainan yang ditunjukkan pada malam ini.

"Prestasi mereka sepatutnya lebih baik dari apa yang dapat kita lihat kerana apa yang penting adalah rentak permainan yang kita capai perlu kita kekalkan... tapi apapun saya ucapkan tahniah kepada pemain yang berjaya membawa pasukan layak ke peringkat suku akhir.

"Kita ada kekurangan apabila kita tak dapat menamatkan perlawanan lebih awal iaitu menjaringkan gol lebih banyak untuk mematikan semangat lawan... kalau kita lihat peluang yang terhidang dua hingga tiga gol pada separuh masa pertama tetapi kita gagal memanfaatkan peluang itu," katanya selepas perlawanan semalam.

Kegagalan pasukan Kedah untuk mempamerkan aksi menarik pada perlawanan lalu disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, beraksi tanpa penyerang utamanya Ken Ilso Larsen dan ketiadaan Sandro Da Silva pada separuh masa pertama membuatkan persembahan Kedah kurang bersemangat dan tidak berbisa walaupun di laman sendiri.

Difahamkan bahawa Ken Ilso direhatkan akibat kecederaan hamstring dan masih dalam proses pemulihan.

Nidzam berharap agar kecederaan yang dialami oleh penyerang utama tersebut kembali pulih dan dapat beraksi bagi perlawanan Liga Super menentang Pahang di Kuantan Sabtu ini.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com